Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Jumlah Kes Positif COVID-19 Kembali Catat Satu Angka

By 28 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Jumlah kes positif COVID-19 kembali mencatatkan satu angka semalam, iaitu tujuh kes selepas kali terakhir mencatatkan satu angka pada 23 Julai.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 sebanyak 8,904 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 179 kes.

“Daripada tujuh kes baharu, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara dan satu bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia,” katanya semasa sidang akhbar perkembangan COVID-19 semalam.

Sebanyak empat kes import adalah dari Pakistan (satu kes di Sabah); Rusia (satu kes di Selangor); Australia (satu kes di Kuala Lumpur); dan Indonesia (satu kes di Kuala Lumpur).

Dr Noor Hisham turut memaklumkan ketiga-tiga kes penularan tempatan hanya melibatkan warganegara di Sabah.

Menurut beliau, kesemua kes penularan tempatan itu merupakan kes saringan prapembedahan, iaitu dua kes dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu manakala satu kes dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas.

Beliau juga memaklumkan terdapat satu kes pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 8,601 kes (96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Tiada kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini, dengan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 sehingga ini kekal sebanyak 124 kes.

Mengulas mengenai situasi COVID-19 di seluruh dunia, Dr Noor Hisham berkata situasi kini semakin melarat dan amat membimbangkan.

Sekiranya kes harian COVID-19 di Malaysia meningkat secara mendadak, beliau berkata fasiliti kesihatan negara dikhuatiri tidak akan dapat menampung beban yang tinggi seterusnya melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan di Malaysia.

“Justeru, bagi mengelakkan daripada berlakunya situasi demikian, setiap individu daripada semua peringkat dan lapisan masyarakat perlulah patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat-nasihat kementerian kesihatan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda