Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Kultur Tisu Pisang Sumber Jana Pendapatan

By 27 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Malini Md Yunos (Rembau)/Huzaimah Hashim (Kolej Komuniti Rembau) 

REMBAU, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Berdasarkan senario semasa ekonomi serta  hasrat negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, Kolej Komuniti Rembau (KKR) telah mengambil cakna bahawa terdapat keperluan untuk memindahkan ilmu yang telah dijana di kolej kepada golongan sasaran bagi memperluaskan dan memperkukuhkan ilmu masyarakat awam.

Berteraskan kerjasama yang telah dijalin sejak 2013 bersama Universiti Malaya (UM), ilmu kultur tisu tumbuhan pisang telah dimanafaatkan dan menjadikan KKR sebagai perantara dalam mengembangkan teknologi kultur tisu kepada masyarakat dan sebagai pusat pengembangan ilmu berkenaan di Negeri Sembilan.

Menurut Pengarah KKR, Huzaimah Hashim, pisang adalah sejenis buah-buahan tempatan yang tidak bermusim dan boleh didapati sepanjang tahun serta wajar dijadikan tanaman budaya bagi masyarakat di daerah ini terutamanya mereka yang mempunyai tanah yang tidak diusahakan secara serius.

“Kebanyakkan petani tradisional gemar menggunakan sulur dalam penanaman pisang dan ianya sesuai untuk kawasan yang terhad serta merupakan cara yang berkesan untuk menghasilkan pisang daripada benih kultur tisu yang berkualiti oleh masyarakat setempat,” katanya.

WhatsApp Image 2020-07-27 at 13.30.44 (1)

Sel tisu akan membesar di dalam bekas khas yang mengandungi media kultur.

Tambah Huzaimah lagi, modul dan latihan serta lawatan ke tempat industri kultur tisu oleh pihak UM telah melahirkan pensyarah-pensyarah yang kompeten dalam mengendalikan proses pembiakkan benih pisang yang berkualiti.

“Kemudahan makmal sedia ada serta pengetahuan pensyarah berkaitan teknik pengkulturan tisu membolehkan KKR menjadi perantara kepada masyarakat, usahawan dan industri dalam menjana pendapatan seterusnya menepati saranan kerajaan untuk memastikan segala ilmu dapat dimanfaatkan bersama sebaik mungkin,” ujarnya.

Menurut Pensyarah KKR, Mahadi Sudin, 43, kolej tersebut telah melahirkan ramai usahawan pertanian yang berjaya di luar dan Bidang Agro Teknologi merupakan ilmu dan kepakaran utama graduan mereka.

“Para graduan KKR telah menjadi rebutan industri pertanian ketika masih menuntut di institusi ini lagi, dengan adanya perkongsian ilmu dan kerjasama seperti teknologi kultur tisu pisang daripada UM ini, graduan kami akan lebih berdaya saing selepas tamat pengajian.

“Saya juga yakin graduan yang sedang mengikuti pengajian di kolej ini akan bersungguh-sungguh mendalami ilmu yang diperlajari dan memanfaatkan pengalaman dan peluang yang sangat cerah pada masa akan datang di dalam bidang pertanian,” ujarnya ketika ditemui.

-AK

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda