
Laporan/foto: RA Othman/Norhasirah (Marang)
MARANG, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah teruja kerana dapat turut serta dalam konvoi berbasikal ke Pasar Bukit Payong bagi membuat penyerahan Jalur Gemilang kepada peniaga-peniaga di sekitar pasar bersempena program Merdeka@Komuniti dan Kempen Kibar Jalur Gemilang.
Kayuhan sejauh 25 kilometer ini diketuai oleh Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Ketua Polis Negeri Terengganu, Pengarah Galian dan Tanah Negeri Terengganu, Ketua Polis Daerah Marang, Yang diPertua Majlis Daerah Marang serta ketua-ketua jabatan kerajaan yang lain telah bermula dari Dataran Rawai melalui Kampung Tebakang menuju ke Kampung Sena Rendang dan singgah di Pasar Bukit Payong dan berakhir di Dataran Rawai.
Terdahulu, Mohd Nor Hamzah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong meluahkan rasa bangga dengan sambutan dan komitmen yang diberikan oleh penduduk kampung dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kempen ini.
“Program Merdeka@Komuniti dan Kempen Kibar Jalur Gemilang anjuran Pejabat Penerangan Daerah Marang sangat bagus dan menyemarakkan lagi rasa cinta kepada negara. Saya begitu teruja dan tidak menyangka sama sekali program ini disambut baik oleh masyarakat Kampung Sena Rendang dan sekitarnya,” kata beliau ketika merasmian program di Dewan Serbaguna Kampung Sena Rendang, Bukit Payong.
Menyingkap semula program-program hebahan melalui kenderaan Jabatan yang dilaksanakan oleh Pejabat Penerangan Daerah Marang semasa dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac 2020 lalu, beliau berpuas hati dengan mesej-mesej bermanfaat disampaikan melalui hebahan bergerak (IOW) terutamanya mengenai penularan dan langkah pencegahan COVID-19 kerana ianya memberi kesan yang besar kepada masyarakat setempat.
“Selain menyebarkan maklumat berguna, perarakan ‘masuk kampung’ juga sangat dirindui kerana pada era 60-an dan 70-an dulu, Jabatan Penerangan yang banyak memaklumkan mesej-mesej dan maklumat semasa kepada penduduk kampung. Jadi bila hebahan ini dilaksanakan semula, dapatlah generasi baharu merasai semula zaman yang telah berlalu pada tahun 2020 ini,” katanya.

Ucapan perasmian dan pelancaran oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah.
Dalam Majlis ini, Mohd Nor Hamzah turut mengadakan sesi penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua-ketua Jabatan di sekitar Marang, Pengerusi-pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Bukit Payong dan Ketua Kawasan Rukun Tetangga Daerah Marang.
Sebagai penutup program, Mohd Nor Hamzah telah mengadakan ziarah cakna ke tiga buah rumah penduduk setempat yang kurang bernasib baik di Kampung Sena Rendang dengan membawa bekalan barangan harian dan keperluan asas agar dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga terbabit.
-ii-