Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/Gambar fail
PUTRAJAYA, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Amalan mengibarkan Jalur Gemilang seharusnya menjadi budaya dalam kehidupan masyarakat hari ini bukan sahaja sempena Sambutan Hari Kebangsaan yang disambut setiap tahun malah dalam kehidupan seharian.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata setelah sekian lama menikmati kebebasan dan kemerdekaan ini, amalan mengibar Jalur Gemilang seharusnya sudah dibudayakan dalam kehidupan seharian.
“Kita semua dengan sendirinya dengan rela hati mengibarkan dengan megah Jalur Gemilang pada sepanjang tahun, tanpa perlu menunggu adanya program sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, apabila kesedaran ini sudah ada dalam diri setiap orang, maka ia bermakna kita telah berjaya menjiwai kemerdekaan negara ini.
“Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan dan kemerdekaan Negara, ia bukan sekadar selembar kain yang mencorakkan perlambangan Negara, malah kita telah banyak kali menyaksikan Jalur Gemilang ini dikibar seluruh pelusuk dunia apabila rakyat negara ini mencapai sesuatu kejayaan,” katanya ketika melancarkan Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Perdana Putra, di sini hari ini.
Muhyiddin menjelaskan sebagai rakyat, semestinya kita berasa berbangga setiap kali anak-anak Malaysia menjulang nama negara dalam bidang pencapaian masing-masing.
“Kadang-kadang walaupun kita tak berada di tempat tersebut, kita ikut berdiri di hadapan kaca televisyen untuk merayakan kemenangan yang mengharumkan nama negara, perasaan yang penuh emosi ini lahir daripada rasa ikhlas mencintai negara.
“Kita mengenepikan sama ada rakan senegara kita itu berlainan bangsa atau agama dengan kita, yang penting mereka berjaya mengharumkan nama negara dan menjulang Jalur Gemilang sebagai seorang warganegara Malaysia yang tercinta,” katanya.