Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Ceburi Dunia Perniagaan pada Usia Muda

By 28 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Malini Yunus/Sapar Sutir (Rembau)

REMBAU, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Kuih denderam atau bahulu kebiasaanya diusahakan secara tradisional di kampung oleh masyarakat tempatan seperti di Pulau Mampat di sini, seorang gadis muda berusaha gigih mengusahakan perniagaan makanan kuih tradisi seperti denderam, bahulu, rempeyek, kuih ros dan pelbagai jenis kerepek yang lain.

Menurut Siti Farah Najwa Darus, 18, beliau menguruskan perniagaan keluarganya pada usia yang masih muda kerana minat beliau dalam bidang pengurusan perniagaan.

“Saya mengambil alih perniagaan ini daripada ibu saya yang pada awalnya dilakukan secara kecil-kecilan namun apabila perniagaan ini semakin berkembang dengan tempahan yang semakin tinggi, dari situlah timbul minat untuk terus berniaga.

“Rakan-rakan seusia saya ramai menyambung pengajian tetapi saya memilih untuk menguruskan perniagaan kerana banyak ilmu yang saya dapat ketika berniaga di samping membantu keluarga,” katanya ketika ditemui.

Beliau yang juga merupakan salah seorang usahawan bimbingan Jabatan Pertanian, RISDA dan FAMA kini telah mempunyai lima orang pekerja dan mendapat bantuan peralatan perniagaan dari Jabatan Pertanian.

WhatsApp Image 2020-07-28 at 08.22.28

Proses membungkus tempahan oleh pekerja di kedai Farah.

“Pada mulanya, kami tidak mempunyai peralatan yang lengkap untuk menghasilkn kuih tetapi kini dengan bantuan daripada pihak Jabatan Pertanian dan RISDA, kami telah mempunyai tiga unit mesin pembakar, dua unit peti sejuk dan beberapa peralatan lain, pihak FAMA juga memberi peluang kepada saya untuk menjalankan perniagaan di pasar tani,” ujarnya lagi.

Tambah beliau lagi, dengan adanya kelengkapan ini, perniagaannya mampu menghasilkan lebih banyak kuih dalam masa yang singkat untuk memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat setiap hari  baik dari masyarakat setempat mahupun luar kawasan.

“Saya amat bersyukur dan menghargai sokongan daripada keluarga dan semua agensi yang terlibat dalam membantu saya untuk terus mengusahakan perniagaan keluarga saya ini,” tambahnya.

Menurut ibu Farah, Zaleha Ahmad , 54, beliau amat berbangga dengan usaha dan minat yang ditunjukkan oleh anaknya dalam mengusahakan perniagaan tersebut,

“Zaman sekarang, remaja seusia anak saya lebih cenderung menghabiskan masa di media sosial dan pelbagi aktiviti lain, tetapi saya amat bangga dengannya kerana dia tidak kisah untuk membantu keluarga untuk berniaga dan berbakat dalam mengruskan perniagaan,” katanya.

-AK

Tinggalkan komen anda