Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Konvoi KMJG Perak Jelajah Negeri Bermula

By 29 Julai 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)

IPOH, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Sambutan Bulan Kebangsaan Negeri Perak disemarakkan lagi dengan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di negeri ini dengan melewati 13 daerah di negeri ini.

Menurut Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Perak Hasan Ashaari Abu Bakar, program ini telah dilaksanakan saban tahun bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan Negara.

“Konvoi ini bergerak dengan matlamat membawa semangat kemerdekaan selain mengedarkan bendera kepada orang awam dan premis-premis di sepanjang persinggahan konvoi ini berlangsung,” katanya ketika ditemui pada acara pelepasan konvoi yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Negeri Perak 2020, di sini semalam.

Peserta konvoi mengedar dan memasang bendera ketika singgah di Pekan Selama.

Peserta konvoi mengedar dan memasang bendera ketika singgah di Pekan Selama.

Menurut Hasan, beberapa buah agensi peringkat persekutuan dan negeri turut terlibat dalam konvoi ini.

“Antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Dalam Negeri, Pos Malaysia, Lembaga Air Perak dan Digital Perak.

“Sebanyak 24 buah kenderaan dengan 50 peserta terlibat dan akan menjelajah keseluruh 13 buah daerah di negeri ini mengikut tarikh-tarikh yang ditetapkan,” katanya merangkap ketua konvoi.

Konvoi berlepas dari perkarangan Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan sebelum singgah di Kuala Kangsar dan meneruskan perjalanan ke Selama.

Konvoi akan bersambung semula untuk fasa kedua pada 6 Ogos ini bagi memberi laluan kepada perayaan Aidiladha yang akan disambut Jumaat ini.

-SH

Tinggalkan komen anda