Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

1.7 Juta Kenderaan Dijangka Menggunakan Lebuhraya PLUS Aidiladha Ini

By 29 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/Infografik PLUS

PUTRAJAYA, 28 Jul (Malaysiaaktif) – PLUS Malaysia Bhd (PLUS) menjangkakan pertambahan trafik sebanyak 30 peratus atau 1.7 juta kenderaan akan menggunakan semua lebuh raya kendalian PLUS termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berbanding 1.2 juta kenderaan pada hari-hari biasa, sempena musim perayaan Hari Raya Aidiladha ini.

Ketua Operasi Kecemerlangan PLUS Mohd Yusuf Abdul Aziz, berkata PLUS telah merangka pelbagai pendekatan bagi memantapkan operasi lebuh raya bagi membantu pelanggan menikmati perjalanan yang lancar dan selesa.

“PLUS menempatkan kira-kira 3,500 kakitangan di dalam ekosistem lebuh raya PLUS untuk membantu semua pelanggan lebuh raya menikmati perjalanan yang lancar di lebuh raya pada musim perayaan kali ini.

“Ini termasuklah menugaskan sebanyak 1,344 pasukan pembantu khidmat pelanggan di plaza tol, 254 pasukan PLUSRonda untuk menjalankan rondaan 24 jam di lebuh raya, 1,500 kakitangan penyelenggaraan, 58 kakitangan di Pusat Kawalan Trafik serta 400 anggota sokongan RELA bagi membantu pengurusan trafik di kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah dan plaza tol pada musim perayaan ini,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Cadangan waktu perjalanan Lebuh Raya Pantai Timur sempena Hari Raya Aidiladha 2020.

Cadangan waktu perjalanan Lebuh Raya Pantai Timur sempena Hari Raya Aidiladha 2020.

Mohd Yusuf turut menasihatkan pengguna untuk mengikut jadual waktu perjalanan bagi melancarkan perjalanan pulang ke atau dari kampung sempena musim perayaan ini.

“Bagi pengguna lebuh raya dari Kuala Lumpur/Selangor menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum pukul 10 pagi, manakala pelanggan yang menuju ke lain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas pukul 2 petang bermula hari ini sehingga 30 Julai ini.

“Sementara itu bagi perjalanan pulang semula ke Lembah Klang di antara 1 hingga 3 Ogos, Jadual Waktu Perjalanan (TTA) menyarankan agar semua pelanggan lebuh raya daripada semua negeri memasuki lebuh raya sebelum pukul  9 pagi,” katanya.

Tinggalkan komen anda