
PUTRAJAYA, 15 Jul (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Terengganu merampas pelbagai barangan tiruan berjenama terkenal bernilai hampir RM100,000 dalam tiga serbuan di Kuala Terengganu dan Marang.
Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata 4,000 unit barangan termasuk kasut, stokin, dompet, baju, tali pinggang, dan beg tangan wanita, dirampas dalam serbuan pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, di dua premis kediaman dan sebuah lot kedai, yang dipercayai telah beroperasi selama enam bulan.
Beliau berkata dua premis kediaman yang diserbu di Kuala Terengganu itu didapati menjalankan perniagaan secara dalam talian.
“Susulan serbuan, kami telah menahan enam orang suspek yang terdiri daripada dua lelaki berusia 30-an dan empat wanita berusia 20-an bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media semalam.
Menurut Saharuddin sekiranya disabit kesalahan, semua suspek boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM10,000 bagi setiap barangan atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali mengikut Akta Cap Dagangan 2019.
— BERNAMA