Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Lima Kes Baharu Dilaporkan, Peratus Kes Pulih Cecah 97.7 Peratus

By 6 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Malaysia mencatatkan lima lagi kes baharu COVID-19 dan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini kepada 8,663 kes, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 77 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes aktif  tersebut empat kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 8,465 kes, dengan peratus kes pulih sepenuhnya mencecah 97.7 peratus.

“Daripada lima kes baharu itu, tiga kes adalah kes import melibatkan dua warga Malaysia dan satu kes bukan warganegara, manakala dua lagi adalah kes penularan dalam negara membabitkan warga Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Memperincikan dua kes penularan dalam negara itu Dr Noor Hisham berkata, kes dikesan melalui saringan prapembedahan di Hospital Queen Elizabeth, Sabah dan pusat perubatan di Seremban, Negeri Sembilan.

Dr Noor Hisham berkata, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan sejak 15 Jun menjadikan jumlah kumulatif kes kematian dalam negara akibat pandemik itu kekal 121 kes, iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Menurut beliau, sehingga kini terdapat dua kes positif yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan bahawa dua kluster berkaitan tempat kediaman iaitu Kluster Gombak dan Kluster Pangsapuri Cheras, telah tamat semalam.

“Kluster Gombak dilaporkan pada 18 Mei 2020 hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif kes positif COVID-19 di sebuah kuarters kediaman di Gombak. Sehingga 4 Julai 2020, 200 orang disaring dan didapati lima kes positif melibatkan warga Malaysia.

“Kluster Pangsapuri Cheras dilaporkan pada 1 Jun 2020 hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif kes positif COVID-19 di sebuah pangsapuri di Cheras. Sehingga 4 Julai 2020, 144 orang disaring dan didapati lapan kes positif. Kluster ini melibatkan satu kes positif warga Indonesia manakala selebihnya adalah warga Malaysia,” kata Dr Noor Hisham.

— BERNAMA

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda