Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Kayuhan Sihat Marang Hebat, Bukti Pembangunan Marang

By 6 Julai 2020Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: RA Othman (Marang)

MARANG, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Menyingkap moto “Marang Hebak”, semalam telah dilaksana program “Kayuhan Sihat Marang Hebat” dan berakhir dalam suasana gemilang di Pantai Peranginan Kelulut, di sini.

Bermula di Chendering, Kuala Terengganu, kumpulan kayuhan basikal Pejabat Daerah dan Tanah Marang (PDTM) dengan kerjasama Terengganu Heritage Cyclist Team (THCT) yang diketuai oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja akhirnya berjaya menelusuri jalan-jalan utama destinasi tarikan pelancongan yang tersohor di Marang.

Jambatan ikonik Marang merupakan laluan penghubung utama antara kampung-kampung dengan bandar Marang.

Jambatan ikonik Marang merupakan laluan penghubung utama antara kampung-kampung dengan bandar Marang.

Antara laluan dan lokasi kayuhan yang dilalui adalah sepanjang penempatan chalet atau rumah persinggahan di laluan antara Rhu Renggeh, Rusila, Rhu Rendang hingga ke Rhu Dua, Pulau Kekabu, Pasar Marang, Jeti Pulau Kapas, Jambatan ikon Marang dan terakhir di Dataran Pekan Budaya Marang, Pantai Peranginan Kelulut.

Menyingkap semula aktiviti Kayuhan Sihat Marang Hebat, Tengku Seri Bijaya Raja berpuas hati dan tidak menyangka sama sekali aktiviti kayuhan seperti ini sebenarnya boleh memberi impak besar terhadap pembangunan sosial dan pelancongan di Marang.

Tengku Seri Bijaya Raja dan Pegawai Daerah Marang bersama kumpulan pengayuh yang menjayakan aktiviti Kayuhan Sihat Marang Hebat.

Tengku Seri Bijaya Raja dan Pegawai Daerah Marang bersama kumpulan pengayuh yang menjayakan aktiviti Kayuhan Sihat Marang Hebat.

“Saya saksikan sendiri betapa orang ramai dan masyarakat setempat melambai-lambai dengan begitu gembira dan memberi sokongan kepada kumpulan kayuhan kami.”

“Bahkan, pemandangan sesak di Pasar Bandar Marang serta jeti Pulau Kapas pada hari cuti hujung minggu benar-benar memberi kejutan kepada saya kerana saya percaya dan terbukti kini Marang Maju Menjelang 2020 akhirnya berjaya direalisasikan,” katanya.

Keadaan sesak di jeti Pulau Kapas jelas menunjukkan destinasi ini menjadi tumpuan orang ramai.

Keadaan sesak di jeti Pulau Kapas jelas menunjukkan destinasi ini menjadi tumpuan orang ramai.

Selain itu juga, beliau meluahkan rasa kagum melihat pembangunan Pulau Kekabu dengan keadaan jalan yang terurus, kelengkapan tempat riadah, tandas, persekitaran yang kondusif dan bersih serta taman permainan dan rekreasi untuk kanak-kanak lengkap disediakan.

Bagi memastikan program kayuhan santai kembali aktif, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak telah merangka dan memastikan aktiviti ini akan dilaksanakan secara berkala yang boleh disertai oleh setiap lapisan masyarakat di daerah sini.

“Walaupun masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kayuhan ini perlu dihidupkan semula kerana saya dapati ramai daripada kalangan belia dan dewasa mula mencari aktiviti untuk diisi bersama setelah berperang dengan tempoh kurungan PKP, PKPB dan PKPP kerana penularan COVID-19.

Peserta berkumpul di lokasi terakhir kayuhan iaitu di Pantai Peranginan Kelulut.

Peserta berkumpul di lokasi terakhir kayuhan iaitu di Pantai Peranginan Kelulut.

“Tanpa mengabaikan penjarakan sosial serta penjagaan keselamatan dan kebersihan, kayuhan ini juga boleh berjaya dan menarik minat ramai pengayuh berkumpulan mahupun individu”, tambah Tun Ahmad Faisal yang bercadang untuk memanjangkan aktiviti kayuhan ini ke daerah-daerah lain di negeri Terengganu,” katanya.

Turut sama menyertai kayuhan ini ialah Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Mohd Shahrir Ghani, Jurutera Daerah Marang, Amaludin Zulkifli, Penghulu Mukim Bukit Payong, Ahmad Zafiri Ahmad Zaki, pegawai dan staf Ibu Pejabat Polis Daerah Marang serta individu persendirian di sekitar Marang.

-ii-

Tinggalkan komen anda