Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Polis Tahan 11 Warga Asing Terlibat Penipuan Pelaburan Dalam Talian

By 18 Julai 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Polis menahan 11 lelaki warga asing disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan dalam talian selepas menyerbu dua rumah di Persiaran Meranti PJU 9, Bandar Sri Damansara, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari, polis menahan 11 lelaki warga asing berumur lingkungan 21 hingga 43 tahun yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan itu.

“Hasil siasatan dalam premis tersebut, polis merampas 52 telefon bimbit, dua pendrive (pemacu pena), dan empat komputer riba yang disyaki digunakan untuk kegiatan pelaburan dalam talian secara haram.

“Siasatan awal mendapati sindiket telah mula beroperasi sejak Febuari lalu dan menjalankan aktiviti pelaburan ‘Bitcoin’ serta pelaburan dalam talian dengan menggunakan laman sesawang Vip.9199299.com,” katanya dalam satu kenyataan, di ibu kota semalam.

Nik Ezanee berkata sindiket ini dianggarkan mampu mengaut keuntungan sebanyak RM45,000 sehari dengan membayar seorang pekerja dengan gaji lebih kurang RM12,500 sebulan dan menyasarkan mangsa di negara China.

Beliau berkata kesemua suspek telah ditahan reman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan ke atas semua suspek bagi melihat penglibatan mereka dalam menjalankan aktiviti penipuan pelaburan dalam talian dalam Daerah Petaling Jaya khususnya,” katanya.

–BERNAMA

Tinggalkan komen anda