Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kes Baharu COVID-19 Catat Dua Angka dengan 13 Kes

By 10 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Selepas mencatat tujuh kes kelmarin, angka positif COVID-19 di Malaysia melonjak semula kepada dua angka iaitu 13 kes dengan sembilan daripadanya kes import melibatkan lima warganegara Malaysia dan empat warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat kes lagi merupakan penularan tempatan melibatkan warganegara dengan dua daripadanya ialah Kluster PUI Sivagangga, satu merupakan Kluster Kurau dan bakinya adalah Kluster Meranti.

“Bagi kes import, masing-masing dua kes dari China, India serta Jepun dan masing-masing satu kes dari Ireland, Indonesia dan Yaman.

“Bagi penularan tempatan pula, terdapat tiga kes dikesan di Pulau Pinang manakala satu kes di Putrajaya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata sebanyak sembilan kes telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,784 kes (96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Beliau memaklumkan bahawa terdapat satu kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada pesakit COVID-19 memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 125 kes, katanya.

Bagi perkembangan Kluster PUI Sivagangga, Dr Noor Hisham berkata setakat ini, sejumlah 4,636 orang disaring dalam kluster itu dan 45 didapati positif, 4,105 negatif manakala 486 masih menunggu keputusan ujian.

“Ujian saringan COVID-19 dijalankan di tiga negeri iaitu Kedah (4,078), Perlis (390) dan Pulau Pinang (168). Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif masih diteruskan,” katanya.

Menurutnya pelbagai langkah pencegahan dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia seperti proses nyah kuman dan nyah cemar di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti berkait rapat dengan kluster tersebut.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda