Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Kibar Jalur Gemilang Tanda Syukuri Kemerdekaan

By 29 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)/RTM Labuan

LABUAN, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Penduduk di Kampung Sungai Bangat terus bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing dalam usaha menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan sebagai tanda mensyukuri kemerdekaan yang dikecapi negara.

Menurut ketua kampung Osman Dullah, para penduduk kampung akan memasang Jalur Gemilang di sekitar kampung walaupun tidak menyertai sebarang pertandingan.

“Setiap kali tiba bulan Ogos kami akan bersemangat memasang dan menghias kawasan kampung dengan Jalur Gemilang untuk menyemarakkan semangat patriotism dan semangat kemerdekaan dalam kalangan warga kampung.

“Bagi kami mengibarkan Jalur Gemilang adalah simbolik sebagai mensyukuri nikmat kemerdekaan dan kebebasan negara ini dari cengkaman penjajah sekaligus mengecapi pelbagai kemajuan,” katanya.

Penduduk kampung akan memasang Jalur Gemilang di sekitar kampung walaupun tidak menyertai sebarang pertandingan - Ketua Kampung Sungai Bangat Osman Dullah.

Penduduk kampung akan memasang Jalur Gemilang di sekitar kampung walaupun tidak menyertai sebarang pertandingan – Ketua Kampung Sungai Bangat Osman Dullah.

Jelasnya, walaupun sambutan Hari Kebangsaan tahun ini disambut dalam norma baharu tetapi ia tidak menghalang mereka menzahirkan semangat kemerdekaan negara yang ke-63.

“Semangat kemerdekaan tetap tinggi seperti tahun-tahun lalu dan pandemik COVID-19 tidak menghalang kami bersama-sama mengajak seluruh warga kampung di seluruh Labuan bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di mana sahaja mereka berada,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, seorang Ahli Jawatankuasa yang terlibat, Mohd Lamit Latib, 63, turut berbangga dapat terlibat sama menghiasi kawasan kampung dengan kibaran Jalur Gemilang.

“Saya merasa sangat gembira kerana dapat bersama-sama warga kampung yang lain memasang Jalur Gemilang sebagai tanda sokongan kepada hasrat kerajaan yang ingin melihat rakyat menghayati semangat kemerdekaan serta tema ‘Malaysia Prihatin’.

Jalur Gemilang menghiasi di salah satu laluan utama Kampung Sungai Bangat.

Jalur Gemilang menghiasi di salah satu laluan utama Kampung Sungai Bangat.

“Aktiviti ini bukan sahaja dapat eratkan perpaduan dalam kalangan penduduk kampung bahkan ia boleh mengajak semua pihak menghargai kemerdekaan serta pembangunan yang dikecapi hasil kemerdekaan negara,” jelasnya.

Bagi seorang bekas peserta Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan, Johny Jamarin, 60, beliau tetap meneruskan tradisi menghiasi halaman rumahnya dengan Jalur Gemilang.

“Setiap tahun memang saya tidak akan lupa untuk menghiasi halaman rumah dengan Jalur Gemilang kerana dengan cara ini saya dapat menghargai pengorbanan tokoh-tokoh kemerdekaan negara.

“Saya harap anak-anak muda dapat mensyukuri nikmat keamanan yang dirasai sekaligus sama-sama memupuk rasa cinta kepada tanah air melalui kibaran Jalur Gemilang ini,” kongsinya.

-SH

Tinggalkan komen anda