Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KPKT Ambil Tindakan Tegas Kontraktor yang Gagal Siapkan Projek Mengikut Masa Ditetapkan

By 10 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan kontrak kepada kontraktor yang gagal menyiapkan projek di bawah kementerian berkenaan, mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Sehubungan itu, Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata satu unit pemantau baharu di bawah seliaan Timbalan Ketua Setiausaha KPKT akan diwujudkan bagi memantau secara lebih dekat dan telus semua projek di bawah kementerian itu, khususnya projek perumahan.

“Mengikut laporan audit banyak projek di bawah kementerian tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan dan selain itu pengisian terhadap rumah yang telah siap juga tidak mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

“Apa yang saya terkejut ada projek perumahan yang tidak mengikut tempoh masa sampai 15 tahun lewat dan itu melampau ….selain itu pengisian rumah yang telah siap juga sampai tiga tahun. Oleh itu kita kena pantau dan tegas terhadap kontraktor yang tidak mengikut masa dan kalau perlu dihentikan, kita akan hentikan kontrak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat perjalanan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gayang II, di Tuaran, Sabah semalam.

Zuraida menasihatkan agar semua kontraktor yang melaksanakan projek di bawah KPKT sentiasa memastikan perjalanan projek mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita tahu banyak masalah yang dihadapi… mungkin ada kesilapan yang lampau, namun ia bukan menjadi alasan … kita perlu lihat ke depan untuk pastikan projek berjalan lancar dan disiapkan,” katanya.

Beliau juga meminta agar pengisian rumah PPR dapat dilaksanakan mengikut tempoh masa yang ditetapkan iaitu sebaik sahaja rumah berkenaan siap.

“Kita mahu nama pemohon dapat diperoleh satu tahun sebelum projek siap dan ia dapat ditapis dan nama-nama pemohan yang layak dapat diperolehi sebelum projek siap dan apabila siap mereka boleh terus tinggal di rumah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta jasa baik semua kontraktor untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua projek PPR yang mereka kendalikan.

“Dengan adanya CCTV banyak perkara yang kita boleh elakkan termasuk masalah sampah, vandalisme, jenayah dan penderaan. Semua masalah berkenaan kita dapat pantau sekiranya ada CCTV,” katanya.

Mengulas mengenai lawatan itu, Zuraida berkata PPR Gayang II kini sudah 46 peratus siap dan dijadualkan siap sepenuhnya pada  Mei 2021.

“Namun kita sedar ada kelewatan pembinaan projek ini disebabkan penularan COVID-19…namun saya berpuas hati dengan perjalan projek ini dan kita juga berharap ia dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Sekiranya ada masalah yang timbul kontraktor perlu menghubungi kita dan pihak kementerian akan mengambil tindakan selanjutnya untuk memastikan projek ini dapat disiapkan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda