Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Laungan Merdeka Tadika Yayasan Islam Marang

By 28 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhasirah Deris (Marang)

MARANG, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 120 pelajar dan guru Tadika Yayasan Islam Cawangan Marang, bersama-sama melaungkan perkataan keramat “Merdeka” sebanyak tujuh kali sebagai simbolik mempamerkan semangat dan rasa cinta pada negara.

Lagu-lagu patriotik seperti Jalur Gemilang, Saya Anak Malaysia dan Tanggal 31 nyanyian Sudirman turut bergema di sekitar kawasan Kampung Kijing, Marang telah sama-sama membangkitkan semangat para murid dan guru-guru tadika Yayasan Islam.

Kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Marang bersama guru-guru dan para murid di Tadika Yayasan Islam Cawangan Marang.

Kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Marang bersama guru-guru dan para murid di Tadika Yayasan Islam Cawangan Marang.

Fatimah Suhana, 37, guru yang bertanggungjawab mengatur majlis ini berkata, program bulan kemerdekaan penting untuk diraikan terutama apabila melibatkan generasi baharu supaya semangat patriotisme akan terus membara dan subur dalam diri kanak-kanak seawal bangku sekolah lagi.

“Generasi baharu mesti diberi kesedaran dan mereka patut diterapkan dengan semangat patriotisme bagi memupuk rasa kecintaan yang tinggi terhadap negara dan tanah air sendiri.

“Kita bimbang, jika semangat patriotisme ini sudah tiada dalam sanubari, kekurangan ini akan memberi impak negatif pada masa hadapan terhadap negara dan pertumbuhan bangsa yang majmuk,” katanya ketika ditemui selepas program.

Murid-murid mematuhi SOP yang ditetapkan.

Murid-murid mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sebagai langkah menyemarakkan lagi rasa cinta kepada pertiwi dalam kalangan anak-anak pra sekolah, guru-guru dan pengurusan Tadika Yayasan Islam Cawangan Marang akan mengadakan sambutan Bulan Kemerdekaan pada 30 Ogos ini yang akan membabitkan pelajar dan guru sebagai aktiviti wajib tahunan apabila menjelang Bulan Kemerdekaan.

“Kita akan pastikan para guru dan murid-murid sentiasa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Guru Tadika Yayasan Islam, Fatimah Suhana, 37 tahun.

Guru Tadika Yayasan Islam, Fatimah Suhana, 37 tahun.

“Walaupun dalam fasa berjaga-jaga, pertandingan menghias kelas merdeka, pertandingan mewarna dan pakaian beragam turut akan dilaksanakan seperti tahun sebelum ini,” ujar beliau lagi selepas memaklumkan hanya aktiviti perarakan mengelilingi kawasan tadika sahaja tidak akan dilaksanakan kerana mengambil kira keselamatan murid-murid.

Program yang dirasmikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Marang, Adawiyah Othman ini bertujuan menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan negara yang ke-63 tidak lama lagi jelas sekali mendapat sokongan penuh oleh para murid dan guru-guru.

Tinggalkan komen anda