
Laporan/foto: Maherah Marina Mahusin (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata cabaran yang paling besar dihadapi mutakhir ini ialah munculnya pelbagai serangan pemikiran dan idealogi yang cuba mencabut ikatan Islam daripada pegangan dan aqidah umat Islam.
“Mereka bergerak secara tersusun dan telah masuk secara halus ke setiap pemikiran orang awam dan anak muda.
“Pemikiran Islam Liberal, ideologi sekular, pluralisme agama dan pelbagai pemikiran yang terseleweng dari agama perlu ditangani dan dibanteras dengan hikmah,” katanya.
“Anasir luar inilah menyebabkan umat Islam berpecah belah dan menjadi lemah di negara sendiri, katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Daie yang Terkesan Akibat COVID-19, di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Samsuri turut berharap para asatizah dapat meneruskan lagi pembudayaan ilmu dan menggerakkan agenda penyatuan serta perpaduan ummah di negeri ini dalam berhadapan dengan cabaran semasa yang mencabar.
Sementara itu, tenaga pengajar Fardhu Ain Mualaf Daerah Kuala Terengganu yang juga penerima bantuan, Che Engku Khairunnisa berterima kasih di atas sumbangan yang diterimanya.

Che Engku Khairunnisa Che Engku Rozali (kiri) menunjukkan cek yang di terimanya dalam Majlis Penyampaian Bantuan Kerajaan Kepada Daie.
“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu kerana dengan bantuan ini dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung para asatizah akibat pandemik COVID-19 termasuklah saya,” katanya.
Manakala, Wan Mohd Fahruddin Wan Ruslin yang merupakan salah seorang tenaga pengajar di sekitar Dun Bandar berkata, beliau sangat menghargai bantuan secara one-off ini dan beliau juga akan terus beristiqamah dalam menyampaikan amanah ilmu kepada mereka yang memerlukan.
Seramai 122 daie menerima inisiatif yang diberikan kerajaan ini.