
Laporan/foto: Idris Sani Saberun/MKN Sabah (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah hari ini mengusir seramai 379 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina pulang ke negara asal.
Pengarah MKN Sabah Sh Sitti Saleha Haibib Yussof, berkata semua PATI Filipina tersebut dihantar pulang terus melalui jalan laut dari Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina.
“Pengusiran melalui jalan laut ini merupakan siri ke-24 pada tahun 2020 melibatkan PATI warga Filipina dan Indonesia.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengusiran PATI sepanjang tahun ini seramai 6,024 orang,” katanya semalam.
Jelas Saleha, semua PATI yang berada di Pusat Tahanan Sementara perlu menjalani ujian saringan COVID-19 dan penjagaan kebersihan diamalkan sepanjang proses pengusiran berlangsung.
Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Filipina kerana memudahkan proses penghantaran rakyatnya.
“Usaha membasmi PATI tidak akan terhenti selagi masalah kebanjiran PATI ini masih wujud.
“Kemerdekaan negara yang dikecapi selama ini perlulah dijaga dengan memastikan kedaulatan negara tidak digugat dengan usaha pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengan kedudukan Malaysia pada masa kini,” katanya.
Beliau turut menyeru agar masyarakat memainkan peranan untuk sama-sama memastikan sempadan negara tidak dibolosi dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pencerobohan PATI kepada pihak berkuasa.
“Masyarakat tempatan juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati jika berhadapan dengan PATI kerana status kesihatan mereka tidak diketahui, lebih-lebih lagi pada ketika negara-negara jiran masih lagi mencatatkan kes jangkitan COVID-19 yang tinggi,” katanya lagi.
-SH