Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Pelancaran IoW Merdeka Daerah Jempol Tetap Meriah

By 5 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Zuraida Mohd Nor Aidi/Muhammad Naim Mohd Shaari (Jempol)

JEMPOL, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Walaupun disambut sederhana dalam norma baharu, Majlis Pelancaran Info on Wheels (IoW) Merdeka daerah Jempol tetap meriah.

Menurut Pegawai Penerangan Daerah Jempol Siti Noorezrin Mahmod, sebanyak 23 program telah dirancang melibatkan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam daerah ini.

“Program ini melibatkan edaran Jalur Gemilang yang akan kami berikan kepada wakil komuniti di setiap kampung kerana kami ingin pastikan setiap kawasan komuniti mengibarkan Jalur Gemilang.

“Dalam masa yang sama, program edaran bendera ini turut melibatkan pelbagai agensi seperti Pejabat Daerah Dan Tanah Jempol, Majlis Perbandaran Jempol dan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM),” katanya ketika ditemui sempena program, di sini baru-baru ini.

Menurut Noorezrin, ibarat serampang dua mata selain membawa mesej kemerdekaan agensi-agensi ini juga turut bertindak sebagai pemantau kepada pematuhan SOP dalam memastikan semua pihak peka dan sentiasa mengamalkan langkah pencegahan COVID-19.

“Pihak Pejabat Penerangan Daerah Jempol juga akan terus meniup serta meningkatkan semangat patriotisme kepada semua lapisan masyarakat selain meningkatkan penghayatan sejarah perjuangan negara dan memperkasakan semangat mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Sementara itu wakil dari Kolej Komuniti Jempol Shazira Yahya, menyatakan rasa sedih kerana tahun ini tiada aktiviti konvoi diadakan.

“Setiap tahun tanpa gagal kami akan hantar pelajar untuk sama-sama menyertai konvoi agar dapat meniupkan semangat kemerdekaan dikalangan anak muda, namun malangnya tahun ini tiada kerana COVID-19,” ujarnya.

Majlis yang berlangsung di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Jempol telah disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Jempol, Suprintenden Mohd Khairiel Mohd Arif yang mewakili Pegawai Daerah Jempol.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Shahnon Mohamad.

 

-AK

Tinggalkan komen anda