Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PM Umum Minggu Ini Status PKPP – Ismail Sabri

By 26 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Jabatan Perdana Menteri

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat pengumuman mengenai status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijadualkan tamat 31 Ogos ini, pada minggu ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sama ada PKPP akan disambung atau tidak, beliau akan umumkan, kata Ismail Sabri pada sidang media perkembangan PKPP di bangunan Parlimen, semalam.

Sebelum ini dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan agar PKPP dilanjutkan sehingga jangkitan COVID-19 di negara ini terkawal.

Menteri Kesihatan Datuk Sri Dr Adham Baba dilaporkan berkata berkata cadangan itu sudah dikemukakan kepada perdana menteri dan Majlis Keselamatan Negara.

Sementara itu, mengulas mengenai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang ingkar arahan kuarantin selepas pulang dari Turki, Ismail Sabri menyerahkan isu tersebut kepada polis untuk disiasat.

“Prosedurnya ialah KKM telah kompaun maksimum RM1,000, selebihnya untuk dibawa ke mahkamah, polis akan buka kertas siasatan dan dibawa kepada peguam negara, peguam negara akan buat keputusan perlu dihadapkan ke mahkamah atau tidak,” katanya.

Isu kegagalan Mohd Khairuddin mematuhi prosedur operasi standard bagi individu pulang dari luar negara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok di Dewan Rakyat dan menjadi perhatian pelbagai pihak.

KKM dalam satu kenyataan media selepas itu berkata kementerian mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lalu atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pula dilapor mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin yang gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda