Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PKPP: Tidak Lagi Wajib Bawa Sejadah untuk Solat Berjemaah di Masjid

By 26 Ogos 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan semalam bersetuju untuk tidak lagi mewajibkan individu yang ingin menunaikan solat berjemaah di masjid membawa sejadah sendiri, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Namun begitu, beliau berkata penggunaan sejadah sendiri adalah digalakkan dan pemakaian pelitup muka masih diwajibkan.

Ismail Sabri berkata kelonggaran itu berkuat kuasa hari ini dan mengambil kira keluhan individu yang tidak dibenarkan masuk untuk solat berjemaah di masjid gara-gara terlupa untuk membawa sejadah.

“Saya ingin berterima kasih kepada imam dan jawatankuasa masjid kerana tegas dalam memastikan SOP (prosedur operasi standard) dipatuhi sepenuhnya,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur semalam.

Ismail Sabri berkata jawatankuasa masjid dibenarkan menjual pelitup separuh muka tiga lapis kepada jemaah yang terlupa memakai pelitup separuh muka dengan harga yang ditetapkan kerajaan.

Masjid juga boleh menyediakan pelapik kertas pakai buang untuk menggantikan sejadah, katanya.

Selain itu Ismail Sabri berkata mesyuarat khas itu juga bersetuju untuk membenarkan warganegara asing menunaikan solat secara berjemaah di masjid bermula 1 Sept ini.

Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi SOP ditetapkan termasuk mendaftar sebelum dibenarkan masuk ke dalam masjid.

“Manakala kebenaran adalah tertakluk kepada pihak masjid yang perlu mengikut kapasiti dibenarkan dan mematuhi penjarakan fizikal,”katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda