
Laporan/foto: Juhara Ali Omar (Semporna)
SEMPORNA, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Semangat ‘Malaysia Prihatin’ menjadi aspirasi kerajaan termasuk semua lapisan masyarakat yang berganding bahu dalam memerangi pandemik COVID-19.
Pegawai Daerah Semporna, Benedict Asmat, berkata semangat itu bukan sahaja dizahirkan oleh petugas barisan hadapan bahkan seluruh rakyat yang juga memainkan peranan sebagai wira negara.
“Semangat tolong-menolong tanpa prejudis akan perbezaan kaum, agama dan fahaman politik ini menjadi tanda positif kita boleh bersatu padu tidak kira apa jua keadaannya.
“Ia harus disemarakkan dalam kehidupan bermasyarakat, lebih-lebih lagi kita sedang giat berusaha menamatkan rantaian COVID-19 agar pemulihan semula ekonomi dan kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik dapat direalisasikan.
“Prinsip Malaysia Prihatin perlu sentiasa dijiwai agar asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan dapat menjayakan norma-norma baharu kehidupan,” katanya sambil menyeru masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakil Pegawai Daerah, Mohd Azmi Anuar Minduru semasa Program Merdeka @Komuniti dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2020 Peringkat Daerah Semporna di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Norzawiyah Bulka serta ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri daerah Semporna.
-SH