Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Sindiket Dadah Tumpas, 14 Kilogram Methamphetamine Dirampas

By 11 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Polis membongkar satu sindiket pengedaran dadah apabila berjaya menangkap tiga suspek termasuk seorang warga Singapura dan merampas 14 kilogram dadah jenis Methaphetamine.

Operasi pada Jumaat lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak membuat serbuan di kawasan tempat letak kereta sebuah pasaraya di Batu Caves setelah mendapat maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata ketiga-tiga suspek dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah berkenaan yang aktif sekitar Lembah Klang.

“Dadah tersebut dibungkus dalam 14 plastik berjenama ‘GUANYINWANG’ yang dianggarkan seberat satu kilogram bernilai RM40,000 setiap bungkus dan nilai keseluruhannya RM560,000.

“Suspek warga Singapura berusia 47 tahun mempunyai sebuah kedai telefon bimbit di Johor namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala seorang suspek warga tempatan pula mempunyai satu rekod jenayah berkaitan judi,” katanya dalam sidang media di IPD Gombak, di sini semalam.

Dadah yang dibungkus dalam plastik sebelum dijual kepada pengedar.

Dadah yang dibungkus dalam plastik sebelum dijual kepada pengedar.

Katanya, jumlah dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 30,000 pengguna berdasarkan jumlah penggunaan 0.5 gram sehari.

“Pihak polis turut merampas dua buah kenderaan yang digunakan jenis Mercedes Benz dan Mazda yang disewa daripada sebuah syarikat, seutas jam jenama Rolex, seutas rantai dan lima cincin emas.

“Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari yang akan berakhir 13 Ogos dan kes disiasat dibawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, sekiranya disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Menurut Arifai, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu hasil siasatan awal dan dadah berkenaan diperolehi serta untuk pasaran di kawasan Lembah Klang.

“Siasatan masih diteruskan termasuk pihak sedang mengesan ahli-ahli kumpulan sindiket berkenaan termasuk dalang utama.

“Antara mereka bertiga ini mempunyai peranan tersendiri seperti mendapatkan bekalan dan berurusan dengan orang tengah sebelum ianya dijual kepada pengedar-pengedar dadah,” katanya.

Tinggalkan komen anda