
Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat (Perlis)
BINTONG, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Hampir 1.6 peratus penjawat awam di negeri ini telah berjaya mengisi maklumat Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) secara dalam talian atau e-Census, sejak 7 Julai lalu.
Menurut Pengarah Perangkaan Negeri Pathmavathi Appulanaidu, Jabatan Perangkaan Negeri Perlis telah membuka klinik e-Cencus di Taman Masmuda Bintong bagi membantu masyarakat setempat untuk mengisi maklumat dan turut mempergiatkan promosi bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pelaksanaan Banci 2020.
“Masih berbaki 14 hari lagi sebelum fasa pertama Banci 2020 akan berakhir.
“Saya berharap penduduk setempat terutamanya penjawat awam yang telah menerima poskad Banci 2020 dapat menjalankan tanggungjawab dengan mengisinya dan membantu menghebahkan mengenai e-Census kepada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup [email protected] DUN Bintong, di sini baru-baru ini.
Tambah beliau setakat 8 September 2020, seramai 2,942 penduduk di negeri telah berjaya mengisinya dan hampir 20 peratus kediaman telah menerima poskad.
“Saya menyeru agar seluruh rakyat di negeri ini, memberikan kerjasama kepada Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Perlis dengan menyelesaikan pengisian data secara dalam talian.
“Orang ramai tidak perlu bimbang tentang data-data atau maklumat yang diberikan kerana ia adalah sulit dan dilindungi mengikut peruntukan di bawa Akta Perangkaan, 1965 (disemak -1989) dan juga mengikut Akta Maklumat Peribadi 2010,” ujarnya.
Untuk sebarang bantuan dan pertanyaan lanjut berkenaan e-Census, orang awam boleh melayari www.mycensus.gov.my atau menghubungi talian hotline banci di talian 1-800-88-7720 serta melalui aplikasi whatsapp di talian 013-7722020.
-NI-