
Laporan/foto: Nur Syafiq Kamaruzzaman/Mohd Fauzi Mohd Yusoff (Tampin)
TAMPIN, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Tampin dengan Kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas telah menjayakan Program [email protected] dan Kembara Jalur Gemilang 2020 bertempat di Taman Sentosa, di sini semalam.
Objektif utama program tersebut adalah untuk memupuk semangat patriotik dan cintakan tanah air dalam diri setiap masyarakat terutamanya penduduk sekitar daerah ini.
Ahli DUN Gemas Datuk Abd Razak Ab Said, menyokong penuh inisiatif yang dijalankan oleh pihak Jabatan Penerangan dalam menggelorakan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
“Impak program ini amat besar walaupun ianya diadakan dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semangat patriotik tetap utuh dalam diri setiap penduduk setempat.
“Semua yang hadir mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang kita jalankan dan dalam masa yang sama mereka tetap patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan,” ujarnya ketika ditemui.
Tambah beliau lagi, penghargaan wajar diberikan kepada pihak Jabatan Penerangan Negeri Sembilan khususnya kepada Pejabat Penerangan Daerah Tampin kerana telah bertungkus lumus untuk menganjurkan program-program kemerdekaan sejak dari awal sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Dalam pada itu, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan antaranya adalah Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Pertandingan Bacaan Ikrar Rukun Negara, Pertandingan Mewarna Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia serta Ceramah Kenegaraan oleh Pejabat Penerangan Daerah Tampin.
Turut serta dalam program tersebut, Pejabat Ahli DUN Gemencheh, Pejabat Perpaduan Daerah Tampin, Pejabat Kesihatan Daerah Tampin, Balai Bomba dan Penyelamat Gemas serta Jabatan Pendaftaran Negara.
-AK