Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Bakal Pesara ATM Juara Bintang Patriotik

By 15 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SUNGAI BULOH, 15 Sep (Malaysiaaktif) – Lagu Pahlawan Ku nyanyian asal Sanisah Huri membawa tuah kepada peserta bersuara lunak, Maizatul Azuli yang memukau lebih 250 penonton apabila menjadi juara dalam Pertandingan Bintang Patriotik.

Dia yang berusia 36 tahun menewaskan 14 peserta lain dalam pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Perbadanan Hal Ehwal Pesara Tentera (Perhebat), Briged Ke-11 Infantri Malaysia, Kem Sungai Buloh semalam.

Selaku johan, beliau yang sedang mengikuti Kursus Bakeri anjuran Perhebat dan bakal menjadi pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak lama lagi membawa pulang wang tunai RM500, sijil penyertaan dan hadiah iringan.

Tempat kedua disandang Mohd Zakwan Nafis yang mendendangkan lagu Warisan sementara tempat ketiga dimenangi Nur Amirah Nabihah Abdul Ghafar yang mempertaruhkan lagu Bahtera Merdeka, kedua-duanya mewakili Kem Sungai Buloh.

Maizatul, yang berasal dari Kuantan ketika ditemui memaklumkan minat menyanyi telah sebati dalam dirinya sejak di bangku sekolah hingga bertugas dengan ATM.

“Ketika bertugas dengan ATM saya masih giat menyanyi dan sering menerima jemputan membuat persembahan dari pihak luar.

Kemerduan suara Maizatul Azuli ketika mendendangkan lagu Pahlawan Ku berjaya memikat hati juri dan dinobatkan sebagai juara Pertandingan Bintang Patriotik yang diadakan di Kem Sungai Buloh.

Kemerduan suara Maizatul Azuli ketika mendendangkan lagu Pahlawan Ku berjaya memikat hati juri dan dinobatkan sebagai juara Pertandingan Bintang Patriotik yang diadakan di Kem Sungai Buloh.

“Selepas bersara nanti saya akan kembangkan perniagaan dan menumpukan kumpulan nyanyian yang ditubuhkan serta aktif di sekitar Kuantan,” katanya.

Hadiah pertandingan disampaikan Exco Selangor, Mohd Khairudin Othman dan turut dihadiri Ketua Pengarah Perhebat, Zakariah Md Sam serta Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Negeri Selangor, Ali Suhaili.

Sementara itu, Ali Suhaili berkata Pertandingan Bintang Patriotik merupakan salah satu pengisian dalam program Merdeka@Komuniti yang diadakan sehari di Kem Sungai Buloh.

“Semoga lagu-lagu patriotik ini terus segar dan subur dalam jiwa kita sebagai satu usaha menanam rasa cinta dan sayang kepada negara.

“Marilah bersama kita pastikan Jalur Gemilang berkibar megah bukan sahaja di luar pintu rumah kita tetapi ianya tetap berkibar di dalam hati sebagai anak Malaysia yang akan terus menyokong usaha kerajaan untuk manfaat rakyat,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda