Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

BOSMeC@MCO2020 Bantu Jana Pendapatan Pelajar Dan Komuniti

By 10 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)/Politeknik METrO Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 10 Sep (Malaysiaaktif)Business Opportunity Through Social Media Competition@MCO2020 (BOSMeC@MCO2020) merupakan satu platform pertandingan pemasaran produk pelajar dan komuniti yang dijalankan secara atas talian bagi membantu menjana pendapatan.

Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mansor Othman, pertandingan ini yang merupakan kerjasama antara Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB) diadakan bertujuan untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan serta membantu komuniti yang terpilih bagi menjana pendapatan melalui perniagaan dalam talian.

“Melalui program ini, secara tidak langsung para peserta dapat meningkatkan pendapatan mereka sekurang-kurangnya sebanyak 10 peratus.

“Selain itu, ia juga memberi fokus ke arah melahirkan usahawan komuniti melalui penglibatan pelajar sebagai agen perubahan,” katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian penutup BOSMeC@MCO2020 di sini, baru-baru ini.

Tambah beliau, pemasaran produk secara maya merupakan alternatif bagi para peniaga mempelbagaikan kaedah jualan, memastikan perniagaan tersebut berdaya saing dan mampu kekal di pasaran dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan keuntungan.

“Kerajaan melalui inisiatif PENJANA telah melaksanakan pelbagai insentif secara langsung atau tidak langsung bagi memastikan ekonomi negara kekal berdaya saing dalam usaha merangsang dan merancakkan semula pertumbuhan ekonomi domestik,” ujarnya.

Pertandingan ini telah dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori produk pelajar atau keluarga, produk komuniti serta 10 kategori kecil yang turut dipertandingkan antaranya BOSMeC Icon Award, Sale Achievement Award, Media Creation Award dan Social Value Creation Award.

-NI-

Tinggalkan komen anda