
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 19 Sep (Malaysiaaktif) – Jumlah kes baharu positif COVID-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lepas kekal dua angka pada 95 kes selain turut merekodkan satu kematian selepas 17 hari sifar kes maut.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 10,147 kes dengan 129 kematian, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan berjumlah 754.
Kes baharu tersebut melibatkan 91 penularan tempatan dan empat kes import, katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi kes penularan tempatan, 90 adalah di Sabah iaitu 76 kes direkodkan dalam Kluster Benteng Lahad Datu (LD) melibatkan 56 rakyat tempatan dan 20 warga asing, empat kes termasuk satu warga asing daripada Kluster Pulau, tiga kes Kluster Selamat, dan tiga kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) termasuk seorang warga asing di Hospital Lahad Datu.
Dr Noor Hisham berkata dua lagi kes adalah saringan bergejala di Hospital Tawau; serta masing-masing satu kes saringan kematian warga asing di Hospital Semporna (kematian ke-129) dan kes saringan kontak rapat kepada kematian ke-129.
Satu lagi kes melibatkan Kluster Bunga di Negeri Sembilan, katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 14 kes pulih sepenuhnya direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pulih daripada wabak itu kini 9,264 kes atau 91.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Beliau berkata pada masa ini terdapat 11 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan dua memerlukan bantuan pernafasan.
–Bernama