Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Dua Gotak Satu Perjalanan

By 14 September 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Ridhuan Mohd Fadhil Samuel (Kuala Kangsar)/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)

MANONG, 14 Sep (Malaysiaaktif) – Ekspedisi Berbasikal Jelajah Dua Gotak dalam Program Merdeka@Komuniti di Parlimen Kuala Kangsar sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 berjaya menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong Muhamad Zuraimi Razali, berkata ekspedisi kali ini agak berbeza kerana ia meliputi dua gotak (jambatan) iaitu Jambatan Manong dan Jambatan Sayong.

“Selain menjelajah jambatan secara berbasikal, program hari ini turut membuat pengisian bagi memeriahkan Program Bumi Hijau anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perak.

“Program seumpama ini merupakan julung kali diadakan di sini dan saya rasa bertuah dan berbangga kerana dapat membawa dua nama besar iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan, Datuk Abdul Yunus Jamahri dan Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman ke Pekan Manong ini untuk bertemu sendiri dengan rakyat,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Sementara itu, Abdul Yunus sempat merakamkan ucapan tahniah kepada barisan jawatankuasa dalam menjayakan dua acara secara serentak ini.

“Penganjuran program seumpama ini merupakan platform terbaik bagi wakil rakyat dan pemimpin kawasan bertemu masyarakat dan mengeratkan silaturahim.

“Kerajaan negeri menerusi program Tanaman Bumi Hijau telah memperuntukan sebanyak RM790,000 untuk menyediakan kit ini kepada 11,081 isi rumah di seluruh negeri ini,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda