Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)
MERU, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Pertandingan Sayembara Puisi Peringkat Negeri Perak (kategori terbuka) anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Penerangan Perak menyaksikan seorang guru berjaya mengenepikan cabaran peserta lain.
Ainun Nasibah Johar, 30, terkejut dengan keputusan ini namun bersyukur atas kemenangan yang berpihak kepadanya dalam pertandingan yang berlangsung sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2020 Negeri Perak itu.
“Ilham menghasilkan sajak bertajuk Nilai Kemerdekaan di Lingga Malaysia Prihatin Ini tercetus apabila saya mendengar kembali perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang Bantuan Prihatin Nasional dan dari situ saya mula menggarap idea untuk menghasilkan sebuah sajak.
“Saya juga menyulam isi sajak dengan tema Malaysia Prihatin supaya lebih berkembang dan dalam masa sama ingin menekankan kesan keprihatinan yang dicerminkan pemimpin dan rakyat telah berjaya mengangkat imej negara di mata dunia dalam menangani pandemik COVID-19,” katanya yang berasal dari Changkat Jering.
Kemenangan itu membolehkan Ainun Nasibah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3000 berserta plak dalam Majlis Jamuan Teh dan Penyampaian Hadiah Sempena Hari Kebangsaan 2020 Negeri Perak, di sini, semalam.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada suami, Abdul Hannan Abdul Rahman yang banyak berkorban demi minat ini dan ahli keluarga terutama bapa, Johar Syuib yang menerapkan minat dalam bidang ini sejak saya berumur 10 tahun,” katanya lagi.
Dalam pertandingan sama, Naib Johan dimenangi oleh Milyana Arshad dan tempat ketiga Muhammad Shukri Ramle, masing-masing menerima RM2000 dan RM1000 berserta plak.
-SH