Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Jadikan Perpaduan Sebagai Suatu Kebiasaan – MB Johor

By 1 September 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Nabila Bohari/Mohd Najib Mohaini (Johor)

ISKANDAR PUTERI, 1 Sept (Malaysiaaktif) – Perpaduan haruslah dijadikan sebagai suatu kebiasaan dalam hidup bermasyarakat dan sentiasa disematkan dihati kerana ia akan dizahirkan dalam setiap tindakan sekaligus menyatupadukan rakyat tanpa mengira jurang agama, bangsa dan budaya.

Menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, bangsa Johor perlu sentiasa berpegang dengan prinsip “Muafakat Itu Berkat” yang berlandaskan semangat persefahaman, bermusyawarah, hormat menghormati dan saling bekerjasama antara satu sama lain.

“Perbezaan kaum, bahasa, adat dan agama bukan penghalang untuk kita bersatu, malah kepelbagaian ini dikongsi serta diangkat menjadi satu kebanggaan bagi rakyat Malaysia setelah 63 tahun Negara mencapai kemerdekaan dan hidup dalam suasana yang aman dan harmoni.

“Rukun Negara haruslah dijadikan panduan dan landasan ke arah pembentukan Negara bangsa yang bersatu padu,” katanya lagi kita merasmikan Program Penghayatan Rukun Negara sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara Peringkat Negeri Johor Tahun 2020, di sini baru-baru ini.

Menteri Besar Johor merasmikan Program Penghayatan Rukun Negara Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara Peringkat Negeri Johor Tahun 2020.

Menteri Besar (dua dari kiri) ketika gimik perasmian Program Penghayatan Rukun Negara Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara Peringkat Negeri Johor Tahun 2020.

Tambah beliau, program pada hari ini signifikan dan selari dengan tanggungjawab semua rakyat Malaysia, termasuk bangsa Johor untuk sentiasa memahami, menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip rukun Negara.

“Sebagai rakyat yang berjiwa patriotik dan cintakan tanah air, prinsip Rukun Negara mestilah sentiasa dijunjung malah penghayatan terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara tidak berakhir pada hari ini malah dijadikan panduan dalam memperkasakan pembangunan sebuah Negara bangsa yang bernama Malaysia.

“Perpaduan merupakan elemen yang amat penting lebih-lebih lagi ketika Negara berdepan krisis seperti pandemik COVID-19,” ujarnya.

Hasni berkata, adakalanya perpaduan dan penyatuan kita diuji, namun berkat kebijaksanaan dan permuafakatan yang jitu, perbezaan dan persengketaan yang wujud dapat ditangani dengan baik.

“Walaupun sambutan Hari Kebangsaan ke-63 diraikan secara sederhana dan dalam norma baharu namun saya yakin, ia tidak akan mengurangkan walau sedikit pun rasa cinta dan kasih rakyat terhadap Negara Malaysia.

“Ayuh rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama mengharungi detik-detik sukar ini terutamanya untuk memulihkan kembali keadaan ekonomi Negara dan beriltizam untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara yang maju, aman dan makmur, “Malaysia prihatin, Malaysia akan terus aman dan makmur,” ujarnya lagi.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

-NI-

Tinggalkan komen anda