Skip to main content
HomePutrajaya

Masyarakat Perlu Segera Rebut Peluang Sertai i-Saraan – Timbalan Menteri

By 11 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KWSP

PUTRAJAYA, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Kementerian Kewangan menyeru mereka yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap supaya segera mengambil peluang menyertai Skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diwujudkan kerajaan bagi memastikan mereka mendapat manfaat perlindungan sosial.

Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah berkata ini berikutan jumlah yang mendaftar dengan skim tersebut setakat Jun lepas, adalah sedikit, iaitu sebanyak 255,000 individu daripada keseluruhan 2.7 juta individu yang bekerja sendiri, yang direkodkan.

“Daripada 255,000 itu, hanya 18 peratus sahaja merupakan pencarum aktif manakala bakinya tidak aktif.

“Inisiatif kerajaan ini mesti dimanfaatkan rakyat seperti di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang memperuntukkan geran sehingga RM50 juta untuk jaringan sosial keselamatan di bawah KWSP iaitu i-Saraan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke KWSP di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Seksyen Bahagian Perolehan Kerajaan yang juga ahli pasukan Belanjawan 2021 Ahmad Fauzi Sungip.

Mohd Shahar berkata skim itu terbuka kepada mereka yang bekerja sendiri seperti peniaga, suri rumah, pemandu e-hailing dan pemandu teksi yang berumur 55 tahun ke bawah dan turut mendapat manfaat yang sama seperti pencarum KWSP pekerjaan formal.

“Kita juga menggalakkan anak muda yang berada dalam ekonomi gig supaya menggunakan peluang yang diberikan kerajaan itu dan mendaftar dengan skim ini,” katanya.

Mengenai Belanjawan 2021, Mohd Shahar berkata seramai 450,000 responden telah mengambil bahagian dalam memberi cadangan dan input terhadap belanjawan yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 Nov depan.

Cadangan Belanjawan 2021 yang dimuat naik di laman rasmi Kementerian Kewangan itu telah bermula sejak 15 Ogos lepas dan akan berakhir Selasa depan.

Belanjawan 2021 akan merentasi empat tema utama – mengambil peduli terhadap rakyat, memacu ekonomi, kehidupan yang mampan dan menambah baik penyampaian perkhidmatan awam.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda