Laporan/foto: Muhamad Azrul Abdullah/Noor Azian Saad (Kota Setar)
ALOR SETAR, 6 Sep (Malaysiaaktif) – Menjadi kelaziman bagi keluarga Wan Azhar untuk menghias kediaman mereka dengan kibaran Jalur Gemilang setiap kali tibanya bulan kebangsaan.
Menurut Wan Azhar Wan Teh, 49, setiap tahun rumah yang terletak di hadapan Jalan Utama Batu 8 ½ Simpang Empat ini kelihatan amat menarik dan menjadi perhatian terutamanya bagi pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut kerana dihiasi dengan pelbagai jenis Bendera Jalur Gemilang.
“Keinginan untuk menghias rumah setiap kali menjelang bulan Ogos, adalah kerana rasa tanggungjawab untuk menaikkan semangat patriotik serta cintakan tanahair dalam kalangan ahli keluarga dan sanak saudara, di samping mengajak orang ramai untuk turut sama menghiasi kediaman masing-masing.
“Saya membelanjakan hampir RM1500 untuk menghiasi rumah dengan kreativiti sendiri, menggunakan kewangan sendiri tanpa mendapat bantuan mana-mana pihak, dan minat menghias rumah sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia ini turut dikongsi bersama isteri, Norhayawati Din, 47, serta lima orang anak kami,” kata peniaga ais ini.
Biarpun mengahadapi kesukaran mendapatkan bendera pelbagai saiz di kedai-kedai berdekatan, namun ia tidak melunturkan semangatnya untuk terus memastikan Jalur Gemilang terus berkibar sekurang-kurangnya di rumahnya sendiri.
-SH