Skip to main content
HomePutrajaya

Pitas Terima Manfaat Inisiatif Kerajaan Pertingkat Kesalinghubungan Di Sabah

By 9 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Inisiatif kerajaan bagi mempertingkatkan kesalinghubungan di Sabah melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS), turut memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Pitas, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata di bawah program JENDELA dan PPS, 17 menara diperuntukkan untuk Pitas di mana tujuh daripadanya telah siap, dua sedang dibina dan lapan lagi menara baharu sedang dirancang.

Salah satu menara yang sedang dibina yang terletak berhampiran Kampung Sapatalang, bakal memberi capaian 4G kepada penduduk di kawasan tersebut, dengan projek berkenaan dijangka siap menjelang suku kedua 2021, katanya.

“Melalui inisiatif-inisiatif berkenaan, penduduk di Pitas kini bukan sahaja boleh meningkatkan taraf sosioekonomi hidup mereka, bahkan juga melaksanakan pelbagai urusan seharian dengan mudah dan lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, enam pemancar di Pitas telah selesai dinaik taraf kepada 4G, manakala 18 lagi dalam perancangan untuk dinaik taraf kepada 4G.

Telekom Malaysia Bhd (TM) pula yang menguruskan Pusat Internet di Kampung Pinggan-Pinggan, yang terletak 11 kilometer dari Kampung Sapatalang, telah meningkatkan kelajuan jalur lebar di situ, melalui sambungan gentian optik sehingga mencapai 300Mbps, katanya.

“Pusat Internet memberikan kemudahan akses yang stabil dan berfungsi memberi bimbingan kepada masyarakat, untuk terlibat dalam aktiviti sosioekonomi digital,” katanya.

Saifuddin berkata, Sabah merupakan antara penerima faedah terbesar di bawah JENDELA, yang memberi keutamaan kepada projek membangunkan infrastruktur komunikasi di negeri itu dari 2020 sehingga 2022.

Menurut beliau, antara projek yang dilaksanakan termasuklah, penambahan 382 menara komunikasi baharu yang sedang dirancang dan penaiktarafan 924 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada.

Selain itu, katanya, 35 menara baharu dan 1,048 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada, akan dinaik taraf secara komersial oleh penyedia perkhidmatan bagi meningkatkan liputan 4G, dan 251,166 premis akan turut disediakan dengan capaian kepada gentian optik.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos mengumumkan pelaksanaan pelan JENDELA, sebagai satu inisiatif oleh kerajaan dan pemain industri bagi mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara, melalui pembangunan infrastruktur yang lebih cepat dan menyeluruh.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda