Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Sejarah Parit Sulong Kekal Dalam Ingatan

By 17 September 2020Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Nabila Bohari (Johor)

BATU PAHAT, 17 Sept (Malaysiaaktif) – Parit Sulong yang terletak di daerah Batu Pahat merupakan sebuah pekan kecil yang  mencatatkan peristiwa hitam dalam peta sejarah Malaysia iaitu tragedi Bukit Kepong dan pembunuhan beramai-ramai anggota Tentera Berikat di kawasan jambatan yang dikenali sebagai ‘Parit Sulong Massacre‘.

Tragedi bersejarah itu yang berlaku sekitar tahun 1942 hingga 1945 di mana terjadinya pertempuran di antara tentera Berikat yang terdiri daripada askar Australia, India dan British dalam usaha menghalau tentera Jepun.

Episod hitam ini berlaku apabila sekumpulan tentera Australia yang menyertai Tentera Berikat diseksa dipancung dan ditembak oleh tentera Jepun yang mana tindakan kejam ini didakwa berpunca daripada perasaan marah dan dendam mereka terhadap serangan hendap Tentera Berikat di jambatan Gemenceh Negeri Sembilan yang menyebabkan ramai tentera mereka terbunuh.

Tulisan Jepun yang ditinggalkan tentera Jepun suatu masa dahulu telah diterjemahkan oleh Puan Hiyama, pensyarah UTHM.

Tulisan Jepun yang ditinggalkan oleh tentera Jepun suatu masa dahulu telah diterjemahkan oleh Puan Hiyama, pensyarah UTHM.

Menurut salah seorang waris tahanan tragedi ini, Kamarul Baharin Abd Karim, perjuangan di daerah ini adalah rentetan kemaraan tentera Jepun di Tanah Melayu yang menyaksikan beberapa pertempuran hebat telah berlaku.

“Selepas bertempur di Gemas, Segamat, Muar dan Bakri, tentera Jepun terus mara ke Parit Sulong yang menjadi lokasi terpenting kepada mereka berikutan di sini mempunyai sebuah jambatan serta laluan air iaitu sungai yang menghubungkan banyak laluan penting seperti Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru.

“Serangan dan pertempuran yang paling sengit berlaku di kawasan Bakri, sebelum pihak Tentera Berikat berkubu di Parit Sulong yang mana pada ketika itu, tentera Jepun dikatakan sangat  agresif mengebom dan menembak kubu pertahanan Tentera Berikat,” katanya ketika ditemuramah wartawan Malaysia Aktif baru-baru ini.

Berek Polis lama yang telah dibangunkan semula sebagai Galeri Parit Sulong.

Berek Polis lama yang telah dibangunkan semula sebagai Galeri Parit Sulong.

Tambah beliau, sehingga kini ramai veteran dan waris tentera Australia datang ke Parit Sulong untuk melawat lokasi pembunuhan beramai-ramai itu di mana sebuah tugu peringatan telah dibina oleh pihak tentera Australia pada tahun 2007 di tebing Sungai Simpang Kiri Parit Sulong bagi memperingati insiden tersebut.

“Waris mereka akan hadir ke sini setiap tahun bagi memperingati mangsa yang terkorban dan akan berkumpul di tugu peringatan yang telah dibina oleh tentera Australia pada tahun 2007 di tepi sungai di sini.

“Mereka juga turut melawat ke pameran berkaitan dengan peristiwa tersebut yang merupakan antara tarikan eko pelancongan di pekan kecil ini yang mengekalkan sejarah agar diingati sepanjang zaman,” ujarnya lagi.

Kamarul Baharin Abd Karim (kanan) waris salah seorang tahanan tragedi Bukit Kepong dan pembunuhan beramai-ramai anggota Tentera Berikat.

Kamarul Baharin Abd Karim (kanan) waris salah seorang tahanan tragedi di Parit Sulong.

Kamarul turut memaklumkan berek polis lama yang terletak di Simpang Kiri Parit Sulong yang menjadi sebahagian daripada kisah tragedi bersejarah ini turut  dibangunkan semula oleh Majlis Perbandaran Yong Peng sebagai tempat bersejarah yang turut menyediakan ruang tapak niaga kepada para penduduk tempatan serta ruang muzium peringatan peristiwa bersejarah Parit Sulong.

“Semoga sejarah Parit Sulong ini sentiasa dalam ingatan dan diketahui umum kerana sejarah di sini kurang diketengahkan.

“Saya amat berharap generasi muda pada masa kini, dapat menjaga dan mengekalkan keamanan yang dikecapi kerana ia bukan datang secara percuma, ia perlu dibayar dengan harga yang mahal melalui pengorbanan, darah serta nyawa para pejuang negara terdahulu termasuk anggota keselamatan,”ujarnya lagi.

-NI-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda