Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Perpaduan Kaum Tonggak Kemakmuran Negara

By 17 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat (Perlis)

Mata Ayer, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer Siti Berenee Yahaya, berkata rakyat perlu menghargai jasa pejuang kemerdekaan kita terdahulu yang telah berkorban mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan negara kerana pengorbanan mereka terlalu besar dan tinggi nilainya kepada generasi sekarang.

“Malaysia Prihatin yang menjadi tema Hari Kebangsaan pada tahun ini membawa makna yang cukup mendalam kepada rakyat Malaysia yang turut sama memerangi wabak pandemik COVID-19 serta kecaknaan kerajaan dengan melakukan pelbagai inisiatif demi kelangsungan hidup rakyat.

“Nikmat kemakmuaran, keamanan dan keselamatan yang kita kecapi kini bukan datang dengan sendirinya, tetapi ia adalah hasil pengorbanan para pejuang kemerdekaan dan anggota-anggota barisan hadapan yang perlu para pelajar ingat dan hayati makna di sebaliknya,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup Bulan Kebangsaan di SK Oran, baru-baru ini.

Tambah beliau, walaupun sehingga kini kita masih dalam tempoh Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun para pelajar masih boleh hadir ke sekolah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Para pelajar perlu dipupuk dengan semangat cintakan tanah air dan patriotisme kerana ia merupakan inisiatif terbaik dalam memupuk toleransi antara kaum dalam kalangan pelajar berbilang bangsa dan agama.

“Sekiranya terdapat sebarang unsur-unsur yang cuba menggangu gugat keamanan dan kemerdekaan yang kita ada pada hari ini, pelajar-pelajar perlu tahu dan berganding bahu demi mempertahankan kemerdekaan negara.

“Kemakmuran yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil perpaduan dan keharmonian oleh semua rakyat Malaysia,” ujarnya.

Siti Berenee menyeru semua pihak agar sentiasa bertolak ansur sesama jiran tetangga dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik dalam setiap permasalahan yang timbul di dalam komuniti.

“Kita juga perlu memahami bahawa kemakmuran negara itu tercipta melalui ketinggian budi bahasa dan tutur kata yang baik dan jika kita tidak memeliharanya, pasti kelak akan timbulkan masalah sesama kita.

“Kita harus bersama-sama berusaha demi memastikan kelangsungan toleransi antara kaum dan agama yang sedia ada dapat dikekalkan,”ujarnya lagi.

-NI-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda