
Laporan/foto: Nurazreen Abd Rahman (Seberang Perai Utara)
BUTTERWORTH, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Sebanyak 120 kompaun berjumlah RM1, 000 dikeluarkan kepada pengunjung yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di kawasan rekreasi dan tepi pantai Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan diarahkan tutup selama dua minggu bermula kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, penutupan itu dibuat selepas mengadakan pemeriksaan menerusi Op Pematuhan COVID-19 baru-baru ini.
“Operasi Op Pematuhan COVID-19 itu melibatkan pihak polis bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mendapati pengunjung gagal mengikuti SOP dengan tiada penjarakan fizikal selain dari tidak memakai pelitup muka,” katanya.

Sebanyak 120 kompaun dengan jumlah RM1, 000 telah dikeluarkan kepada setiap pengunjung yang gagal mematuhi SOP.
“Pihak polis telah membuat pemantauan di kawasan rekreasi itu sebelum ini dan kehadiran pengunjung memang ramai, namun mereka tidak menjaga penjarakan fizikal dan ada yang tidak memakai pelitup muka serta berkumpul dalam kumpulan yang ramai melibatkan kanak-kanak serta warga emas,” tambahnya lagi.
Norzainy Mohd Noor turut berkata, pihaknya telah memberi nasihat serta amaran kepada pengunjung sebelum ini, namun mendapati mereka masih ingkar. Ekoran itu atas saranan KKM, MBSP telah mengambil keputusan untuk menutup sementara kawasan rekreasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor mengadakan Op Pematuhan COVID-19.
“Orang ramai diharapkan dapat memberi kerjasama dengan mematuhi segala arahan dan SOP yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan serta sentiasa mengamalkan kawalan kendiri bagi memutuskan rantaian COVID-19 ini,” ujar Norzainy Mohd Noor.
-ii-