Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

27 Ketua Kampung di Labuan Dilantik Melalui Dalam Talian

By 25 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Perbadanan Labuan

LABUAN, 25 Okt (Malaysiaaktif) – 27 orang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) merangkap Ketua Kampung bagi sesi 1 Oktober 2020 sehingga 30 September 2022 telah menerima watikah pelantikan secara dalam talian hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) Dr. Fary Akmal Osman, susulan daripada arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Labuan, majlis penyampaian ini telah diadakan secara dalam talian di Bilik Gemilang, Wisma Perbadanan Labuan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Selain itu, ianya juga adalah sebagai salah satu praktis kempen pembudayaan norma baharu dalam pelaksanaan majlis rasmi kerajaan seperti yang disarankan oleh kerajaan.

“Walaubagaimanapun ini bukanlah sebagai penghalang untuk kita tidak melaksanakan majlis yang sangat bermakna dan dinantikan oleh komuniti kampung,”katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu.

Dr. Fary (kiri) semasa Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan  Pengerusi dan Setiausaha  JPKK yang baharu.

Dr. Fary (kiri) semasa Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi dan Setiausaha JPKK yang baharu.

Jelasnya, Menteri Wilayah Persekutuan melalui PL bersetuju melantik seramai 27 orang Pengerusi merangkap Ketua Kampung dan 27 orang Setiausaha JPKK untuk menerajui kepimpinan yang baharu.

“Seramai lapan orang Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sesi 22 Januari 2019 hingga 31 Julai 2020 dilantik semula sebagai Pengerusi JPKK dan lima orang Setiausaha JPKK adalah terdiri daripada anggota MPKK sesi 22 Januari 2019 hingga 31 Julai 2020.

“Buat julung kalinya Labuan mencatat sejarah dengan pelantikan seorang wanita untuk memegang jawatan sebagai Pengerusi JPKK dan diharapkan perubahan ini adalah satu permulaan yang baik untuk golongan wanita di pulau ini,” jelasnya lagi.

Tambahnya, PL berharap JPKK yang dilantik dapat memberikan khidmat kepada masyarakat khususnya warga kampung dan sentiasa bersiap sedia serta proaktif dalam membantu PL dalam aktiviti pembangunan yang turut melibatkan sosio ekonomi, pelancongan dan pembangunan modal insan.

“Selain itu, JPKK juga perlu berfungsi sebagai penghubung di antara kerajaan dan rakyat dalam membantu kesejahteraan Labuan yang mana mereka perlu menyalurkan maklumat maklumbalas, aduan, masalah, permintaan atau keperluan komuniti setempat kepada PL atau Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) terutama dalam menangani situasi pandemik COVID-19 yang amat mencabar ketika ini di samping isu-isu yang lain,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda