Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

287 Kes COVID-19, Tertinggi Sejak Penularan Pandemik di Malaysia

By 3 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Sebanyak 287 kes baharu COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kesemua kes itu adalah penularan tempatan dan perkembangan terbaharu tersebut menjadikan kes terkumpul kini berjumlah 11,771 kes dengan kes aktif sebanyak 1,540 kes.

“Trend peningkatan inilah yang Kementerian Kesihatan  (KKM) khuatiri dan diperingatkan hampir setiap hari kepada semua pihak, kerana perkara itu sememangnya selari dengan trend peningkatan jumlah kes dan kematian COVID-19 yang dilihat di seluruh dunia.

“Kes COVID-19 di dunia pada masa kini mencecah sekitar 34.2 juta kes dan jumlah kes harian menunjukkan kenaikan iaitu sekitar 309,000 kes berbanding sebelumnya kira-kira 302,000 kes,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 semalam.

Beliau berkata tiada kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan  dan jumlah kumulatif kes kematian kekal 136 kes.

Dr Noor Hisham berkata 20 daripada kes baharu hari ini merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept lepas sebanyak 139 kes.

Beliau berkata pecahan kes berkenaan yang dikesan menerusi saringan merangkumi 13 di Selangor, masing-masing dua di Perak dan Negeri Sembilan, serta masing-masing satu kes di Terengganu, Kelantan dan Wilayah persekutuan Labuan.

Dr Noor Hisham berkata pada masa ini terdapat 22 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan empat memerlukan bantuan pernafasan.

Sepanjang tempoh 24 jam lepas, sebanyak 81 kes pulih COVID-19 direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 10,095 kes.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda