Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

374 Kes Baharu, Jumlah Keseluruhan Lepasi 15,000

By 11 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini kekal tiga digit untuk 10 hari berturut-turut dengan 374 kes, sekali gus menyaksikan jumlah keseluruhan melepasi angka 15,000 kepada 15,096.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan juga meningkat kepada 4,161 kes, selain terdapat tiga lagi kematian dilaporkan.

Jelasnya, Sabah kekal merekodkan kes baharu tertinggi dengan 277 kes, susulan lebih banyak aktiviti saringan dijalankan terutama di pelbagai daerah yang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan PKPD secara pentadbiran.

“Di Selangor terdapat 44 kes, diikuti Kedah dengan 27 kes yang kesemuanya melibatkan Kluster Tembok, sementara Sarawak (sembilan), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (empat) dan tiga di Pulau Pinang.

“Sementara itu masing-masing dua kes di Johor, Perak dan Wilayah Persekutuan Labuan, selain satu kes di Melaka dan Wilayah Persekutuan Putrajaya,” katanya dalam sidang media secara maya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu, 372 kes adalah penularan tempatan manakala hanya dua kes import, masing-masing melibatkan warganegara dan rakyat asing yang pulang dari Filipina.

Sementara itu, menerusi ciapan Twitter Dr Noor Hisham beliau berkata, keupayaan Malaysia untuk menjalankan ujian Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sebanyak 41,354 ujian sehari adalah setanding dengan negara lain.

“Buat masa ini, Malaysia menjalankan 51.96 ujian bagi 1,000 penduduk. Ini adalah lebih tinggi dari Korea Selatan, Jepun dan Thailand,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda