Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Dua Lokasi SJR Kawal Pergerakan Warga Labuan 24 Jam

By 18 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian(Labuan)

LABUAN, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) berganding bahu mengadakan Sekatan Jalan Raya (SJR) 24 jam semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Labuan, Superitenden Muhamad Farid Ahmad berkata, SJR yang dijalankan di Jalan Tun Mustapha dan Jalan Patau-Patau itu bertujuan mengawal pergerakan warga Labuan sepanjang tempoh PKPB.

“Selain memastikan kawalan pergerakan, kita juga membuat pemeriksaan agar hanya dua orang boleh berada dalam kenderaan yang sama dan bagi yang bekerja dikehendaki menunjukkan surat dari majikan.

“Seramai 28 anggota PDRM, 12 Anggota ATM dan enam anggota RELA dikerahkan bertugas di SJR kali ini selain kita masih gerakkan pasukan pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) di kawasan bandar dan luar bandar,”katanya yang ditemui media semasa meninjau SJR di Jalan Tun Mustapha semalam.

Farid memberi peringatan kepada pemandu untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Farid memberi peringatan kepada pemandu untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Pada masa yang sama Farid terus mengingatkan semua pihak untuk terus mematuhi segala SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita minta semua premis perniagaan menyediakan MySejahtera bagi merekodkan kehadiran orang awam dan alat penyukat suhu.

“Bagi mereka yang aktif dalam aktiviti berbasikal, kita nasihati mereka jangan berkumpul dan pilihlah kawasan yang sesuai untuk beriadah terutama di kawasan kampung.

“Bagi perkhidmatan e-panggilan hanya dua penumpang dibenarkan dan bagi bas mini difahamkan mereka hanya ambil separuh daripada muatan asal dan saya nasihatkan mereka patuhi SOP seperti menggunakan pelitup muka dan penjarakan fizikal,” kongsinya.

Farid (empat dari kanan) semasa membuat tinjauan di salah satu SJR yang dijalankan.

Farid (empat dari kanan) semasa membuat tinjauan di salah satu SJR yang dijalankan.

Selain itu, beliau turut menasihatkan warga Labuan untuk terus duduk di rumah terutama pada lewat malam.

“Tiada had pergerakan bagi individu tetapi dinasihatkan individu yang ingin keluar malam selepas jam 10 agar duduk di rumah kerana kebanyakan perniagaan sudah ditutup.

“Selain itu kita merasa dukacita kerana masih menerima aduan mengenai ingkar perintah kuarantin dan ini kita akan terus ambil tindakan di bawah Seksyen 22b Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” jelasnya.

-SH

Tinggalkan komen anda