Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Jumlah Kes Baharu 563, Dua Kematian Dilapor

By 13 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 13 Okt (Malaysiaaktif) – Bilangan kes baharu COVID-19 di Malaysia kekal tiga digit dengan 563 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kini mencecah 16,220 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan turut meningkat kepada 5,039 kes, dengan dua kematian dilaporkan.

Katanya daripada 563 kes positif, satu adalah kes import yang mendapat jangkitan dari Indonesia, melibatkan warga tempatan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata Sabah masih kekal merekodkan kes positif harian tertinggi melibatkan 291 kes, namun kes positif meningkat di Pulau Pinang iaitu sebanyak 141 kes membabitkan Kluster Penjara Reman.

“Di Selangor terdapat 69 kes, diikuti Kuala Lumpur (27), Negeri Sembilan (12), Kedah (10), Perak (empat), masing-masing dua kes di Johor, Putrajaya dan Labuan serta masing-masing satu kes di Sarawak dan Melaka,” katanya pada sidang media secara maya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, 98 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Bagi kes penularan tempatan, beliau berkata daripada 562 kes yang dilaporkan, 498 kes melibatkan warga tempatan dan 64 kes bukan warganegara.

“Daripada 562 kes penularan dalam negara, 10 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekali gus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept sebanyak 363 kes,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 109 kes yang pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 11,022 kes iaitu 67.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda