
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/MPS
SELAYANG, 30 Okt (Malaysiaaktif) – Kebakaran sebuah tapak pelupusan sampah haram di Jalan Ulu Yam, Sungai Tua, kelmarin disyaki angkara khianat pihak tertentu.
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata, tapak yang merupakan tanah milik kerajaan itu terbakar selang dua hari selepas tindakan penguatkuasaan diambil.
“Kejadian tersebut menyebabkan kerosakan sebahagian besar tapak dan menyukarkan pihak berkuasa untuk membuat pemantauan serta pemulihan ke atas tanah berkenaan.
“Pemadaman dilakukan pasukan bomba sementara MPS telah menghantar dua jentera untuk membantu kerja-kerja pembersihan,” menurut kenyataan itu.
Katanya, MPS kesal dengan kejadian itu dan satu laporan telah dibuat berhubung insiden tersebut.
“MPS amat kesal diatas kejadian ini dan akan terus berusaha untuk memastikan aktiviti tapak sampah haram di kawasan Selayang akan diterus dibanteras dengan bantuan agensi kerajaan yang berkaitan.
“Kami ingin memberi amaran kepada indvidu yang menjalankan aktiviti ini bahawa tindakan akan diambil ke atas mereka selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Terdahulu, Pejabat Tanah dan Daerah Gombak (PDTG), MPS, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyertai satu operasi serbuan bersepadu ke atas tapak itu, Isnin lalu.
Sebanyak empat struktur binaan tidak kekal telah dirobohkan manakala dua jentera yang berada di lokasi disita dalam serbuan berkenaan.
Tindakan diambil di bawah Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Akta Kanun Tanah Negara 1965.
-NAZ