Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Kekalkan Status Penjawat Awam Sebagai ‘Neutral’ – Khairul Adib

By 2 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Ramlen Salleh (Labuan)

LABUAN, 2 Okt (Malaysiaaktif) – Penjawat awam diseru untuk mengekalkan status mereka sebagai ‘neutral’ dan hanya berkhidmat untuk Yang di-Pertuan Agong dan negara.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, 1.6 juta penjawat awam perlu setia kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan semasa.

“Jangan terlibat dalam hal politik dan biar ia diuruskan oleh orang-orang politik, kita hanya melaksana apa-apa dasar yang ditetapkan kerajaan.

“Mereka mendapat mandat rakyat dan kita perlu hormatinya, jangan kita terlibat serta memihak kepada politik tertentu apa lagi menggunakannya untuk kepentingan tertentu.

Khairul Adib (dua dari kanan) turut menyempurnakan Pelancaran Team Prihatin Perbadanan Labuan, di sini.

Khairul Adib (dua dari kanan) turut menyempurnakan Pelancaran Team Prihatin Perbadanan Labuan, di sini.

“Kita perlu keluar dari situasi sokongan politik dan menjadi badan yang bebas dari sebarang pengaruh politik dengan berkhidmat dengan profesional,” katanya semasa Majlis Penyampaian Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Bersama Ketua Jabatan/Agensi, di sini hari ini.

Beliau turut menyeru penjawat awam membantu rakyat menjana semula ekonomi yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

“Kita perlu membantu rakyat seperti peniaga untuk menjana semula aktiviti ekonomi seperti membantu mengeluarkan lesen perniagaan mengikut peraturan yang ditetapkan kerana peranan kita amat diperlukan semasa situasi begini.

“Kita perlu sama-sama membina semula dan melindungi Malaysia kerana jika keadaan ekonomi membimbangkan akan ada pelbagai isu lain timbul seperti masalah sosial,” katanya.

Khairul Adib (tengah) menunjukkan baju Team Prihatin Perbadanan Labuan sambil ditemani Dr. Fary (kiri).

Khairul Adib (tengah) menunjukkan baju Team Prihatin Perbadanan Labuan sambil ditemani Dr. Fary (kiri).

Tambahnya, penjawat awam di semua peringkat perlu terus memainkan peranan serta fungsi masing-masing.

“Kita semua perlu bangga boleh berkhidmat untuk negara kerana pertumbuhan ekonomi dan keamanan yang dirasai adalah hasil kerja keras kakitangan awam.

“Kita ingin pastikan generasi yang mewarisi perkhidmatan awam ini dididik dengan nilai-nilai yang baik supaya kita dapat kembali memperbaiki imej perkhidmatan awam agar anak cucu kita mendapat manfaat,” jelasnya lagi.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr. Fary Akmal Osman dan Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr. Ismuni Bohari.

-SH

Tinggalkan komen anda