Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Melaka Finalis Kempen “We Love Cities” 2020

By 2 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Haniza Harun (Melaka)/MBMB

MELAKA, 2 Okt (Malaysiaaktif) – Usaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengamalkan pelbagai inisiatif hijau ke arah bandar raya sejahtera dan mampan membuahkan hasil apabila negeri Melaka dipilih sebagai finalis bagi kempen “We Love Cities” di peringkat global oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Bandaraya Melaka merupakan salah sebuah bandar raya yang menjadi finalis pada peringkat antarabangsa daripada 56 buah bandar raya di seluruh dunia yang melibatkan 27 buah negara.

Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Datuk Zainal Abu, kempen ini bertujuan mewujudkan kaedah komunikasi yang lebih baik antara wakil bandar raya dan komuniti berkaitan isu perubahan iklim serta kemampanan bandar.

Zainal (kiri) semasa program lintas langsung Cerita Pagi-Selamat Pagi Malaysia, baru-baru ini.

Zainal (kiri) semasa program lintas langsung Cerita Pagi-Selamat Pagi Malaysia, baru-baru ini.

“MBMB telah mewujudkan satu pasukan khas untuk mendapatkan pandangan orang awam meliputi aspek perkhidmatan bandaraya antaranya pengangkutan, penjanaan tenaga kerja, reka bentuk bangunan dan bahan buangan.

“Kempen ini telah bermula sejak tahun 2016 dan Bandaraya Melaka telah memenanginya pada peringkat kebangsaan buat kali kedua pada tahun ini, MBMB menyasarkan agar Bandaraya Melaka memenanginya pada peringkat antarabangsa pula,” katanya semasa menjadi tetamu lintas langsung pada program Cerita Pagi Selamat Pagi Malaysia, baru-baru ini.

Menurut Zainal, undian telah bermula sejak 14 Setember dan berlangsung sehingga 11 Oktober ini.

“Undian boleh dibuat melalui pautan welovecities.org/melaka dan maklumat lanjut boleh diperolehi dalam laman web MBMB iaitu www.mbmb.gov.my atau Facebook rasmi MBMB.

“Semoga Melaka berjaya dinobatkan sebagai pemenang di peringkat dunia dan menempah nama di persada antarabangsa serta marilah bersama kita bangunkan Bandaraya M,elaka Bersejarah yang bahagia,” katanya.

-SH

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda