Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

MAHB Sumbang 350 ‘Comfort Kits’ kepada Petugas Barisan Hadapan Sabah

By 24 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Ahmad Sarujin Seting (Sabah)

KOTA KINABALU, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Komited memberi sokongan kepada petugas barisan hadapan khususnya di Sabah, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) hari ini menyumbang 350 kit keselesaan (comfort kits) bagi menghargai usaha yang dilakukan mereka menangani pandemik COVID-19 ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, dalam kenyataannya menjelaskan menerusi Program #MYAirportCARES pihaknya dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghantar kit tersebut ke Hospital Queen Elizabeth sebanyak 150 unit dan 200 unit lagi ke Hospital Tawau.

“Dengan bantuan TUDM, 350 unit kit keselesaan dihantar kepada petugas barisan hadapan di Tawau dan Kota Kinabalu yang sedang memerangi COVID-19 secara agresif dan kini mencatat jumlah kes tertinggi di negara ini.

Pesawat C130 Charlie TUDM yang menerbangkan kit keselesaan ke Sabah.

Pesawat C130 Charlie TUDM yang menerbangkan kit keselesaan ke Sabah.

“Kit keselesaan #MYairportCARES terdiri daripada satu beg tidur, satu tuala muka dan satu set peralatan mandian.

“Dengan mobilisasi tambahan petugas barisan hadapan ke Sabah, kami ingin memberi bantuan agar para petugas yang bekerja berjam-jam lebih selesa dalam menjalankan tugas mereka,” dedah beliau.

Tambah Mohd Shukrie, barang-barang yang dihantar dengan pesawat Charlie 130 berlepas dari Subang ke dua destinasi iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Tawau.

“Setibanya di Sabah, #MYairportCARES comfort kits ini akan diserahkan kepada wakil Hospital Queen Elizabeth, selain Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Majlis Perbandaran Tawau bagi pihak Sekretariat Bencana Nasional di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Inspektor Dayang Noorhadizah Nasip (kanan) dibantu anggotanya Konstabel Noorfadhilah Rahim mengangkat kotak kit keselesaan ke dalam kenderaan.

Inspektor Dayang Noorhadizah Nasip (kanan) dibantu anggotanya Konstabel Noorfadhilah Rahim mengangkat kotak kit keselesaan ke dalam kenderaan.

Sementara itu, di Terminal 2 LTAB Kota Kinabalu, sebanyak 13 kotak kit ini diserahkan oleh Ketua Operasi LTAB Kota Kinabalu, Awang Mali Awang Anak kepada wakil Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Dr Mohd Syawal Mohd Din dari Bilik Gerakan Operasi Bencana COVID-19.

Mohd Syawal yang ditemui merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih terhadap keprihatinan Malaysia Airports, selain menyeru orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk membasmi pandemik COVID-19.

Sejak pandemik menular, MAHB telah mengedarkan 2,000 unit kit ini ke Hospital Sungai Buloh yang merupakan hospital rujukan bagi menangani wabak di Malaysia, sementara 500 unit pula diberikan kepada penumpang yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

-SH

Tinggalkan komen anda