Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Patuhi SOP Atau Dikompaun – Farid

By 9 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/IPD Labuan

LABUAN, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Pihak Polis memberi amaran keras kepada semua pihak agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekiranya tidak mahu dikompaun.

Menurut Ketua Polis Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad, berikutan trend peningkatan kes positif COVID-19 di sini, pihaknya akan mengambil tindakan lebih proaktif bagi memastikan semua penduduk wilayah ini mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kita akan pastikan warga Labuan menggunakan pelitup muka setiap waktu kecuali waktu makan, sebelum ini kita berlembut dan hanya bagi nasihat kepada pekerja atau tukang masak di restoran yang tidak pakai pelitup muka, tapi mulai hari ini kita akan ambil tindakan kompaun tanpa ada belas kasihan lagi.

“Tindakan akan diambil juga jika pelitup muka tidak dipakai dengan sempurna kerana ini adalah untuk kebaikan semua warga.

“Kita akan memantau kedai makan, pasaraya atau premis perniagaan, jika ada yang tidak mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera atau buku log yang disediakan kita akan kompaun individu itu berserta pemilik premis yang gagal mengawal sempadan masuk premis perniagaan mereka,” katanya semasa ditemubual di LabuanFM pagi tadi.

Kawalan dan pemantauan yang dilakukan di pintu keluar dan masuk Labuan.

Kawalan dan pemantauan yang dilakukan di pintu keluar dan masuk Labuan.

Pihak polis juga katanya akan mempertingkatkan penguatkuasaan di seluruh Labuan termasuk di kawasan darat dan laut.

“Bagi kawasan laut akan ditubuhkan satu pasukan bersepadu untuk kita pastikan di sepanjang pesisir pantai Labuan tiada kemasukan atau pendaratan haram dari Sabah tanpa melalui pintu-pintu masuk yang diawasi pihak Jabatan Kesihatan dan polis.

“Kita juga akan membuat pemantauan 24 jam diseluruh Labuan termasuk di rumah-rumah ibadat bagi memastikan pematuhan SOP dilaksanakan,” katanya.

Jelasnya lagi, kerjasama bersepadu semua pihak amat penting bagi memastikan pematuhan SOP diseluruh Labuan.

“Seperti yang dapat dilihat kerjasama bersepadu antara agensi antaranya Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Rela, Perbadanan Labuan dan Jabatan Kesihatan memang baik sekali.

“Masyarakat sendiri boleh bekerjasama dengan polis dengan melaporkan jika berlaku kesalahan tidak mematuhi SOP atau ingkar perintah kuarantin.

“Jangan leka dan sentiasa jaga ahli keluarga, orang sekeliling dan patuhi SOP,elak berada di luar rumah jika tiada keperluan,” ujarnya.

Tambahnya, setakat hari ini sebanyak enam kes dan lapan tangkapan dicatatkan di Labuan bagi kes ingkar arahan kuarantin dan belum ada kompaun dikeluarkan berkaitan kes gagal mematuhi SOP sejak 27 September lalu.

-SH

Tinggalkan komen anda