Skip to main content
HomePutrajaya

Berita Palsu: MCMC Beri Amaran Tindakan Tegas Boleh Diambil

By 9 Oktober 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Mengambil maklum berhubung penularan berita palsu dalam media sosial yang mendakwa 13 menteri Kabinet telah dijangkiti COVID-19, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memberi amaran mengenai tindakan tegas terhadap penyebaran berita palsu.

MCMC memaklumkan perkara itu telah pun dinafikan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hariannya selain penafian yang diterbitkan dalam portal Sebenarnya.my.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan media hari ini memberitahu tindakan tegas boleh diambil Polis Diraja Malaysia dan MCMC jika terdapat perlakuan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Pihak MCMC memberi amaran kepada orang awam agar tidak menyebarkan berita yang palsu dan sentiasa berwaspada dengan penyebaran maklumat atau berita yang diragui kesahihannya,” menurut suruhanjaya itu.

MCMC menyatakan sekiranya terdapat keraguan mengenai kesahihan sesuatu berita, orang ramai diminta untuk melayari portal Sebenarnya.my atau pautan Telegram iaitu https://t.me/sebenarnyamy.

Maklumat mengenai penularan berita palsu juga boleh disalurkan melalui pautan ‘Salur kepada Kami’ iaitu https://sebenarnya.my/salur/ dalam portal dan aplikasi Sebenarnya.my, katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda