
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohd Fauzi Rosli (Ipoh)
SLIM RIVER, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Masyarakat hari ini digesa untuk menerima perubahan dan membudayakan sesuatu yang baharu demi kesejahteraan bersama.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim Mohd Zaidi Aziz, pandemik COVID-19 menyebabkan berlakunya perubahan besar dalam rutin harian masyarakat.
“Antaranya para pelajar perlu belajar dari rumah menerusi kelas dalam talian bagi membendung penularan wabak berbahaya ini.
“Kita tidak pernah terbayang perubahan ini berlaku dalam kehidupan kita namun perubahan ini perlu dipandang dari sudut positif,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu Daerah Muallim, di sini semalam.
Mohd Zaidi menambah penerimaan perubahan ini pastinya mngambil masa namun yang penting rakyat diberi kesedaran dan dididik untuk menerima perubahan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Perak Hasan Ashaari Abu Bakar, berkata pihak JaPen tidak akan berputus asa untuk terus memberi taklimat dan hebahan kepada orang ramai dalam kempen kesedaran ini.
“Untuk mengubah sesuatu budaya itu amat payah tapi demi mengelak daripada wabak ini terus tersebar, kita harus buat perubahan dan menjadikan norma baharu sebagai kebiasaan,” katanya.
-SH