Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Tidak Perlu Pembelian Panik – KPDNHEP Labuan

By 17 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/RTM Labuan

LABUAN, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan pada 17 hingga 30 Oktober ini.

Menurut Pengarahnya Amirul Hadi Idham, segala aktiviti ekonomi dan peruncitan masih berjalan seperti biasa sepanjang PKPB.

“Restoran masih beroperasi, pasaraya boleh menjalankan perniagaan dan orang awam masih boleh keluar untuk urusan penting termasuk membeli keperluan harian, maka tiada keperluan untuk berpusu-pusu ke kedai runcit atau pasaraya bagi membeli barang keperluan,” katanya ketika ditemu bual di stesen radio LabuanFM semalam.

KPDNHEP Labuan turut menjalankan beberapa tindakan bagi memastikan situasi tersebut dapat dikawal.

“Kita memberi taklimat kepada pemborong mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi bagi membawa barangan keperluan daripada Sabah ke Labuan untuk menjamin tiada masalah kekurangan bekalan.

“Kita juga memberi nasihat kepada pengurus pasaraya atau kedai runcit untuk memastikan bekalan di premis sentiasa mencukupi dengan konsep dalangi kendiri atau kawalan had maksimum bagi item-item barangan kawalan,” katanya semasa ditemubual LabuanFM semalam.

Tinjauan mendapati orang ramai mula beratur panjang untuk membeli barangan di beberapa pasar raya di sini.

Tinjauan mendapati orang ramai mula beratur panjang untuk membeli barangan di beberapa pasar raya di sini.

Jelasnya, pemeriksaan dan pemantauan bekalan di semua premis turut dijalankan disamping melaksanakan lain-lain operasi.

“Tinjauan ini diambil bagi memastikan bekalan keperluan di Labuan sentiasa mencukupi dan tidak terjejas semasa tempoh pelaksanaan PKPB selain memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan sesuka hati.

“Sehingga hari ini tiada aduan diterima daripada pengguna, pasaraya atau pemborong berhubung kesukaran mendapatkan dan membawa masuk bekalan keperluan harian ke Labuan,” katanya.

Menurut Amirul Hadi, kerajaan memberi jaminan bekalan keperluan harian sentiasa mencukupi selain memberi nasihat kepada pengguna agar merancang perbelanjaan dan elakkan daripada membuat pembelian berlebihan yang akan merugikan diri sendiri.

Sementara itu, mengulas mengenai kenaikan mendadak harga bawang di Labuan, Amirul menjelaskan kenaikan harga barangan yang diimport seperti bawang berlaku pada peringkat global dan turut berlaku di negara-negara pengeluar bawang seperti India, China dan Bangladesh.

“Hasil dari pemantauan yang dijalankan, Notis 21 dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan kepada semua premis dan peringkat rantaian peruncitan untuk mengenal pasti punca kenaikan serta tindakan akan diambil jika terdapat kenaikan yang tidak munasabah,” tambahnya.

-SH

Tinggalkan komen anda