Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

1,096 Kes Baharu COVID-19, Tiga Kematian Direkodkan

By 23 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Malaysia mencatatkan 1,096 kes baharu COVID-19, dengan Selangor terus mencatatkan kes tertinggi iaitu 603 kes (55.0 peratus) dan diikuti Sabah dengan 311 kes (28.4 peratus).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka kes baharu hari ini menjadikan jumlah kes positif dalam negara sebanyak 54,775 kes.

Bagaimanapun, jumlah kes pulih melebihi kes baharu dengan 1,104 kes direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 41,597 kes.

Menurut beliau dalam satu kenyataan, catatan kes baharu itu menjadikan bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 12,843 kes.

Beliau berkata daripada 1,096 kes baharu, sebanyak 1,090 kes melibatkan penularan tempatan manakala bakinya adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Angka COVID-19 yang tinggi di Selangor berpunca daripada pertambahan kes bagi kluster-kluster terutamanya kluster berkaitan tempat kerja iaitu Kluster Teratai dengan pertambahan 502 kes (83.3 peratus).

“Sabah pula mencatatkan jumlah kes yang tinggi disebabkan oleh peningkatan pengesanan kes dalam kalangan saringan kontak rapat iaitu 139 kes (44.7 peratus),” kata Dr Noor Hisham.

Kenyataan itu memaklumkan 72 kes (6.6 peratus) dilaporkan adalah berkaitan kluster di Pusat Tahanan Sementara dan penjara membabitkan Kluster Tembok (42 kes), Kluster Bakti (16 kes), Kluster Rumah Merah (empat kes), Kluster Penjara Sandakan (empat kes), Kluster Penjara Seberang Perai (dua kes) Kluster Penjara Reman (dua kes), Kluster Penjara Kepayan (satu kes), dan Kluster Matambai (satu kes).

Dr Noor Hisham berkata terdapat 106 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 46 kes memerlukan bantuan pernafasan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda